Jumaat, 17 Julai 2009

Kerajaan biaya RM7 juta dapatkan vaksin selesema babi

BERNAMA


PUTRAJAYA - Kerajaan dianggarkan membelanjakan RM7 juta bagi mendapatkan vaksin selesema babi atau Influenza A (H1N1) yang dijangka berada di pasaran hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, harga sebenar vaksin itu belum diketahui setakat ini.

“Kementerian sudah membuat permohonan bagi mendapatkan bekalan vaksin ini untuk digunakan 200,000 petugas barisan hadapan bagi memastikan perkhidmatan perubatan dan perkhidmatan asas terjaga dan berterusan semasa krisis berlaku,” katanya kepada media di sini, semalam.

Dr Mohd Ismail berkata, syarikat swasta, terutama yang menyediakan perkhidmatan penting seperti bank dan stesen petrol dinasihatkan menyediakan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) bagi mengelakkan syarikat mereka terjejas akibat penularan virus H1N1.

Beliau berkata, penyediaan pelan itu sebagai garis panduan mencegah dan mengawal penularan penyakit itu di premis perniagaan masing-masing.

“Kalau mereka ada BCP mereka akan ambil langkah pencegahan dan kawalan secepat mungkin, (contohnya) kalau seorang pekerja sakit suruh balik rumah. Kalau tak buat macam tu, ia akan menular dalam pejabat itu, semua sakit dan satu pejabat akan tutup, dan kalau ia melibatkan syarikat yang mengedar makanan, air dan sebagainya, seluruh negara akan terjejas,” katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, rangka penyediaan pelan tersebut boleh didapati di laman web kementerian iaitu www.moh.gov.my dan sehingga kini hanya lima atau enam syarikat yang dikenal pasti mempunyai pelan itu, walaupun mereka diminta berbuat demikian sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, terdapat 22 langkah pencegahan dan kawalan yang perlu dilaksanakan serta-merta, dan garis panduan itu diedarkan menerusi laman web kementerian.

Menurutnya, mereka yang sakit ringan seperti demam biasa dan sakit tekak tidak semestinya perlu mendapatkan rawatan di hospital, sebaliknya boleh mendapatkan ubat di farmasi dan berehat di rumah.

Beliau berkata, pesakit yang perlu mendapatkan rawatan di hospital adalah mereka yang mempunyai gejala seperti sesak nafas, sakit dada, sawan dan berkelakuan pelik.

"Jika terdapat keraguan hubungi 03-88810200, 03-88810300, 03-88834414 dan 03-88834415, dan mereka yang hendak ke hospital pula dinasihatkan memakai topeng muka supaya penyakit itu tidak tersebar kepada orang lain, termasuk doktor dan pegawai bertugas," katanya.

Tiada ulasan: