Rabu, 1 Julai 2009

Keputusan Majlis Raja-Raja dihormati

Oleh LIAU PEI WEN


KUALA LUMPUR - Keputusan Majlis Raja-Raja menangguhkan cadangan pindaan terhadap undang-undang berkaitan penukaran agama dan undang- undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) yang sepatutnya dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini wajar dihormati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pindaan undang-undang syariah harus mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Walaupun agak kecewa dengan penangguhan itu terutama selepas beberapa tahun ia dikaji, beliau tetap menghormati keputusan tersebut.

"Saya berasa kecewa. Kabinet telah memutuskan pada April lalu dan saya ingatkan tidak ada masalah untuk pindaan undang-undang tersebut kerana ia selaras dengan konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Majlis Raja-Raja memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja pada satu mesyuarat khas membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu.

Pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) membabitkan Akta Perkahwinan dan Perceraian 1976, Akta Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan Akta Pentadbiran Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Pindaan yang dicadangkan itu juga akan menyentuh mengenai pembubaran perkahwinan, hak penjagaan anak, nafkah anak dan isteri serta pembahagian aset perkahwinan.

Mohamed Nazri berkata, Jabatan Peguam Negara telah membuat kajian mengenai cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) itu sejak tahun 2006 lagi.

"Ia juga melibatkan perbincangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mufti-mufti dan semua persatuan keagamaan dalam negara termasuk melantik bekas Ketua Hakim Mahkamah Syarie, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman sebagai penasihat mereka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah melakukan kajian yang secukupnya dan berpendapat kerajaan telah bersedia untuk meminda undang-undang berkenaan.

"Bagaimanapun saya menghormati keputusan Majlis Raja-Raja semalam dan kerana ia melibatkan undang-undang Syariah yang harus diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

"Saya juga tidak pasti bilakah undang-undang ini akan dipinda kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk memuktamadkan perkara ini," katanya.

Tiada ulasan: