Selasa, 14 Julai 2009

‘Keputusan diumum seawal jam 8 malam’

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA KRAI: Keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dijangka diketahui seawal jam 8 malam ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata SPR tidak menjangka sebarang masalah wujud untuk mengumumkan keputusan awal berdasarkan kawasan DUN itu yang kecil.

"Sasaran kami ialah lebih 85 peratus daripada 12,293 pengundi akan mengundi pada hari berkenaan kerana 90 peratus daripada pengundi adalah petani, penoreh getah dan nelayan. Jadi mereka tidak tertakluk kepada hari bekerja.

"Kira-kira 1,300 pengundi luar pula, bukan semuanya dari Lembah Klang. Kebanyakan dari sekitar Kelantan dan Pahang, jadi saya harap mereka dapat pulang dan keluar mengundi beramai-ramai esok (hari ini)," katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra I di sini, semalam.

Beliau berkata, suasana kempen yang bermula 6 Julai lalu berjalan dengan aman dan tidak ada sebarang insiden buruk yang boleh menjejaskan perjalanan proses pilihan raya kecil dilapor berlaku.

"Kami harap sehingga calon yang menang diumum tidak akan berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Melalui pemantauan yang dibuat Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya pula didapati parti yang bertanding mematuhi undang-undang dari segi pemasangan bahan kempen," katanya.

Beliau berkata, bagi bahan kempen yang menyalahi peraturan, tindakan menurunkan bahan berkenaan sudah dibuat dan pasukan ini mendapat kerjasama daripada wakil-wakil parti.

Abdul Aziz berkata, maklumat pengundi seperti nama pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor siri dalam daftar pemilih boleh didapati di 25 barung SPR yang dibuka dalam jarak 50 meter di luar pusat mengundi.

"Sejumlah 72 kerusi roda iaitu masing-masing lapan kerusi roda bagi setiap sembilan pusat mengundi akan disediakan SPR untuk kemudahan pengundi uzur atau kurang upaya," katanya.

Tiada ulasan: