Rabu, 8 Julai 2009

Keputusan dijangka diketahui 8.30 malam

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA KRAI: Keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai ini, dijangka diketahui seawal jam 8.30 malam.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihaknya tidak menjangka sebarang masalah untuk mengumumkan keputusan itu awal.

"Sasaran kita 85 peratus daripada 12,293 pengundi akan mengundi pada hari berkenaan, " katanya pada sidang media selepas memberi taklimat kepada ketua Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya Kecil Manek Urai di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai, di sini, semalam.

Wan Ahmad berkata, sasaran peratusan keluar mengundi adalah sama dengan peratusan dicatatkan pada pilihan raya umum 2008.

Beliau turut menasihatkan parti politik yang bertanding mematuhi peraturan dan undang-undang ketika berkempen dalam pilihan raya kecil itu bagi mengelakkan timbul masalah yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya melarang penggunaan sepanduk yang boleh mencetuskan permusuhan dan kebencian masyarakat, yang boleh menjadikan masyarakat berasa tersinggung, menyentuh soal kedaulatan Raja-Raja, menyentuh peribadi dan mengandungi unsur fitnah," katanya.

Bagi mengawasi kempen itu berjalan dengan bersih dan parti politik terbabit mematuhi undang-undang, beliau berkata tiga kumpulan Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya Kecil Manek Urai ditubuhkan.

Setiap kumpulan mempunyai lima anggota, termasuk seorang pegawai polis berpangkat sekurang-kurangnya Inspektor dan seorang wakil calon itu diberi tugas mengawasi tiga kawasan pusat mengundi.

"Pasukan pemantau kempen itu akan menasihatkan parti politik berkenaan supaya menurunkan bahan kempen seperti sepanduk dan poster yang didapati menyalahi undang-undang," katanya.

Aduan boleh dikemukakan kepada pasukan itu di talian : 09-9668081 bagi kawasan Lata Rek, Manjor dan Laloh; 09-9606787 (kawasan Sungai Perial, Manek Urai Baru, Manek Urai Lama) dan 09-9606785 (kawasan Temalir, Chuchoh Puteri dan Sungai Sok).

Tiada ulasan: