Sabtu, 11 Julai 2009

Kemelut insurans kereta lama: Sistem insuran perkongsian, Pos Malaysia jadi ejen

BERNAMA


BACHOK: Kementerian Kewangan akan melaksanakan sistem perkongsian atau "pool system" antara syarikat insurans bagi mengatasi kemelut pemilik kenderaan berusia lebih 10 tahun atau berharga bawah RM10,000 supaya memiliki insurans bagi melindungi kenderaan masing-masing.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata bagi penyelesaian tempoh terdekat ini, kementeriannya menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) juga bersetuju menggalakkan Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) menjadi ejen bagi menyediakan perkhidmatan itu kepada pelanggannya.

“Kerajaan sedar masalah syarikat insurans yang enggan melindungi insurans kenderaan berumur lebih 10 tahun atau berharga RM10,000 ke bawah yang masih beroperasi di atas jalan raya kerana merugikan syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan benih ikan di projek ternakan ikan keli menerusi Program Kemiskinan Parlimen Kawasan Bachok, di Kampung Telok Merbau, Perupok, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan beberapa syarikat insurans kini menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga bawah RM10,000, termasuk teksi kerana dianggap merugikan.

Laporan media hari ini, menyatakan dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun dan ke atas yang bernilai bawah RM10,000 berada di jalan raya pada masa ini.

Ia termasuk lebih 900,000 kenderaan Proton dan 300,000 kenderaan keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara yang didaftar antara 1994 hingga 1999.

Dr Awang Adek berkata, kerajaan sedar ada syarikat insurans yang tidak sanggup melindungi kenderaan yang berisiko tinggi kerana membabitkan kerugian syarikat jika berlaku kemalangan di atas jalan raya.

Menurutnya, masalah itu bukanlah baru dan kerajaan menerusi BNM dan syarikat insurans sedang berusaha mengatasinya dengan mengambil pelbagai pendekatan yang menguntungkan kedua-dua pihak, terutama pemegang polisi kelas tiga.

“Hasil mesyuarat yang dipengerusikan oleh saya sendiri baru-baru ini, kerajaan bersetuju melantik pihak tertentu, termasuk Pos Malaysia menjadi ejen insurans bagi membolehkan pemilik kenderaan membayar insurans dan mendapat faedah perlindungan berdasarkan kepada pengkelasan sesuatu insurans itu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju menggalakkan syarikat insurans menubuhkan syarikat atau ejen insurans secara berkongsi menerusi perjanjian persefahaman (MoU) supaya keuntungan dapat dinikmati oleh semua pihak dan tidak dimonopoli oleh satu pihak saja.

“Langkah itu akan diperkenalkan mulai Julai ini dan akan terus dikuatkuasakan di seluruh negara bagi menjaga kepentingan pemilik kenderaan dan pengendali syarikat atau ejen insurans,” katanya.

Pada majlis tersebut, 10 penduduk kampung menyertai projek itu yang diusahakan secara berkelompok oleh penduduk miskin membabitkan peruntukan RM50,000 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok.

Tiada ulasan: