Jumaat, 24 Julai 2009

Keluarga Beng Hock berhasrat jumpa PM

UTUSAN ONLINE


ALOR GAJAH - Keluarga mendiang Teoh Beng Hock berhasrat menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminta supaya siasatan yang lebih menyeluruh dilakukan berhubung kematian mendiang.

Ini kerana, pada mulanya keluarga itu mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan semalam untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja dan inkues bagi mengenal pasti punca kematian.

Bagaimanapun hari ini, keluarga mendiang bersikap sebaliknya apabila melahirkan rasa kecewa selain menolak usaha kerajaan mengadakan inkues dan menubuhkan suruhanjaya itu.

Mereka menganggap, langkah kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan dan inkues itu sebagai langkah tidak menyeluruh, khususnya dalam mengenal pasti punca sebenar kematian Beng Hock.

Menurut adik bongsu mendiang, Teoh Lee Lan, 29, keluarganya menjangkakan suruhanjaya tersebut ditubuhkan dengan tumpuan siasatan difokuskan kepada kejadian yang berlaku.

''Kami mengalu-alukan usaha kerajaan menubuhkan suruhanjaya itu melalui pengumuman semalam. Namun, hari ini kami kecewa kerana suruhanjaya itu hanya ditubuhkan untuk mengkaji cara siasatan dan mengenal pasti punca kematian mendiang.

''Ini bukan seperti yang diinginkan oleh keluarga kami kerana permintaan sudah dinyatakan kepada beberapa menteri termasuk Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri sewaktu mereka datang melawat kami minggu lalu,'' katanya.

Lee Lan berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Seri Kelemak di sini hari ini.

Kabinet semalam memutuskan supaya satu inkues diketuai seorang majistret dijalankan minggu depan bagi menentukan punca kematian Beng Hock yang mayatnya ditemui di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor pada 16 Julai lalu.

Perdana Menteri yang mengumumkan keputusan itu berkata, kerajaan turut bersetuju mewujudkan satu Suruhanjaya Diraja untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang digunakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Lee Lan lagi, dia menggambarkan siasatan berasingan itu tidak menyeluruh sementara inkues yang dijalankan terhadap kematian Beng Hock tidak akan dikeluarkan sepenuhnya oleh suruhanjaya terbabit yang dikendalikan oleh panel berkecuali.

''Kami harap Perdana Menteri tidak menunggu sehingga siasatan kes ini selesai sebelum berjumpa dengan kami.

''Jika beliau tidak dapat berjumpa, kami bersedia menemui beliau di Putrajaya untuk memintanya menukar keputusan dan menubuhkan satu suruhanjaya sahaja,'' katanya.

Tiada ulasan: