Khamis, 16 Julai 2009

KDN beri amaran tegas

Oleh HASHNAN ABDULLAH


PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyenarai hitam dan menarik balik kelulusan permohonan kerakyatan, permit masuk serta sijil kelahiran pemohon yang didapati mengamalkan rasuah.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau tidak mahu usaha murni KDN menyegerakan kelulusan setiap permohonan itu diperalatkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, ia juga sejajar dengan matlamat KDN sendiri yang tidak mahu isu itu memberi kesan negatif kepada pembangunan bangsa serta negara.

''Kalau kita kenal pasti mereka (pemohon) telah merasuah pegawai saya dan ejen-ejen tertentu, permohonan yang telah diluluskan akan ditarik balik manakala nama mereka akan disenaraihitamkan.

''Saya serius kerana tak berbaloi saya tak tidur malam memproses permohonan ini tapi akhirnya ada pihak tertentu mengambil kesempatan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau lebih 300 buah kotak mengandungi fail permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan sijil kelahiran di pejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hishammuddin menasihatkan orang ramai agar berurusan terus dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi permohonan kewarganegaraan serta sijil kelahiran dan Jabatan Imigresen bagi permit masuk.

Dalam hal ini, beliau menolak sekeras-kerasnya dakwaan setengah pihak bahawa KDN ada melantik ejen bagi menguruskan permohonan tersebut.

''Jangan sesekali terpedaya dengan modus operandi ejen-ejen palsu yang hanya mengambil peluang dan kesempatan.

''Difahamkan ada ejen mengenakan bayaran perkhidmatan antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap permohonan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KDN sedang mengenal pasti pendekatan yang sesuai untuk menyelesaikan isu berkaitan pekerja asing, pembantu rumah dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Untuk itu, katanya, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin akan bermesyuarat pada Jumaat ini bagi membincangkan perkara itu.

''Jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membincangkan status perkembangan semasa serta dasar-dasar berhubung pekerja asing, pembantu rumah dan PATI," katanya.

Tiada ulasan: