Selasa, 21 Julai 2009

Kamera automatik saman pesalah trafik

UTUSAN ONLINE


IPOH – Mulai 1 September ini, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas tidak dapat mengelak dari dikompaun atau disaman berikutan Pemasangan Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kamera AES akan merakam semua kesalahan lalu lintas dan saman dikeluarkan serta-merta melalui sistem komputer Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, sistem AES akan dipasang di lebih 200 kawasan berisiko tinggi kemalangan di seluruh negara.

“Selepas kesalahan dirakamkan, saman akan terus dikeluarkan dan dihantar ke alamat pemilik kenderaan.

“Sekiranya tidak bayar, mereka akan disenaraihitamkan dan tidak boleh memperbaharui lesen memandu dan cukai kenderaan.

“Kita juga akan tunjukkan rakaman sebagai bukti kepada pesalah yang enggan mengakui kesalahan mereka di pejabat JPJ,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Ibu Pejabat JPJ Perak di sini hari ini.

AES merupakan kaedah terbaik untuk memantau pergerakan kenderaan dan mendisiplinkan pemandu supaya patuh kepada undang-undang bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.

Penggunaan sistem berkenaan bukanlah asing kerana ia sudah lama digunapakai di kebanyakan negara termasuk di Taiwan.

Beliau berkata, pemasangan kamera akan dibuat secara berperingkat-peringkat di kawasan yang kerap berlaku kemalangan di semua negeri terutamanya di lebuh raya dan jalan-jalan persekutuan.

Tiada ulasan: