Ahad, 5 Julai 2009

Kaji kesahihan 'ketulan emas'

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH


ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan mendapatkan laporan lengkap daripada Jabatan Mineral dan Geosains negeri bagi menentukan kesahihan sama ada ketulan batu yang ditemui penduduk di Kampung Jelutung, Pendang dekat sini benar-benar mengandungi emas atau sebaliknya.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri berhubung penemuan itu kerana sebarang hasil bumi yang ditemui adalah hak kerajaan negeri.

"Jika benar ketulan batu yang ditemui itu adalah emas, maka kawasan berkenaan akan menjadi tumpuan ramai seperti Lubuk Mandi di Terengganu.

"Soal keselamatan dan perkara lain perlu diambil kira. Oleh itu, kita akan memikirkan bagaimana untuk mengawalnya kerana sebarang hasil bumi tertakluk kepada Enakmen Mineral Negeri," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Siswa Diploma Kelas 2009 di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan kawasan kuari di Kampung Jelutung menjadi tumpuan ramai setelah seorang pekerja di situ menemui ketulan-ketulan batu yang dikatakan mengandungi emas.

Sementara itu, tinjauan Mingguan Malaysia hari ini mendapati pihak pengurusan kuari menutup kawasan itu buat sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja mengambil tanah yang akan selesai pada pukul 6 petang.

Difahamkan ia akan dibuka semula selepas itu tetapi keselamatan adalah di bawah tanggungjawab sendiri.

Meskipun ditutup, penduduk masih menyerbu kawasan kuari tersebut kerana terlalu ghairah untuk mendapatkan ketulan batu berkenaan.

Seorang penduduk, Che Bedah Ibrahim, 52, berkata, selagi pengesahan belum dibuat, dia akan tetap mengumpul ketulan batu berkenaan sebanyak mungkin kerana tidak mahu terlepas peluang mendapat untung jika kandungannya benar-benar emas.

"Kita masih belum tahu lagi keputusan ketulan itu sama ada emas atau sebaliknya. Jadi lebih baik kumpul banyak-banyak dahulu," katanya.

Seorang penduduk dari kampung berhampiran, Ismail Ahmad, 55, pula memberitahu, dia terkejut dengan penemuan ketulan emas di kampung berkenaan yang diketahuinya menerusi laporan akhbar dan datang ke kawasan kuari berkenaan untuk melihatnya sendiri.

Tiada ulasan: