Jumaat, 17 Julai 2009

Kadar tarif baru elektrik diumum tidak lama lagi

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Kadar tarif baru elektrik akan diumumkan tidak lama lagi kerana kajian mengenainya sudah siap, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui.

Katanya, pihaknya dimaklumkan Majlis Penasihat Ekonomi yang membuat kajian dan penilaian terhadap perkara itu sudah membuat keputusan mengenainya.

“Buat masa ini tiada apa-apa maklumat mengenainya... tunggu pengumuman yang akan dibuat,” katanya kepada pemberita ketika ditanya bila kerajaan akan membuat pengumuman mengenai tarif baru elektrik.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pameran dan persidangan Automasi Perindustrian Asean (IA), program dwitahunan yang diadakan serentak dengan Asean Elenex (AE) 2009 - pameran Penjanaan Kuasa, Transmisi dan Kejuruteraan Elektrik Ke-8 di sini, semalam.

Asean Elenex 2009 adalah anjuran Malaysia Exhibition Services Sdn Bhd (MES) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai tuan rumah dari 15 Julai hingga hari ini.

Kali terakhir kerajaan mengumumkan tarif elektrik pada 1 Mac lalu membabitkan penurunan antara 2.5 peratus hingga lima peratus.

Sementara itu, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan polisi mengenai tenaga hijau, pada minggu depan termasuk memperkenalkan insentif bersesuaian kepada mereka yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti memberikan pengecualian cukai.

Tiada ulasan: