Jumaat, 17 Julai 2009

Jui Meng letak jawatan Pengerusi MCA Bakri

Tolak spekulasi keluar parti, mahu ahli sokong kepimpinan Tee Keat

BERNAMA

MUAR: Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng malam tadi meletak jawatan sebagai Pengerusi MCA Bahagian Bakri yang dipimpinnya sejak tahun 1988 dan menyerahkan tugas memimpin bahagian itu kepada Timbalan Pengerusi bahagian, Sia Ka Tuan.

Beliau seterusnya menolak desas-desus yang mengatakan akan keluar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebaliknya meminta supaya semua anggota jawatankuasa MCA bahagian itu menyokong penuh kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat.

"Sudah sampai masanya saya memberi laluan kepada orang yang lebih muda dari saya," katanya pada satu persidangan akhbar di Ibu Pejabat MCA bahagian Bakri, di sini semalam.

Katanya, beliau sudah memaafkan mereka yang mencabarnya pada pemilihan tahun lalu, dan kini beliau hanya mahukan mereka memandang ke hadapan, jangan saling bertelagah disebabkan perkara-perkara kecil.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan penyokong-penyokongnya selama sejam di dewan bangunan ibu pejabat itu.

Bercakap mengenai masa depannya Chua berkata, beliau akan meneruskan visi perjuangannya iaitu mahukan supaya kepimpinan kerajaan mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan membela rakyat semua kaum dalam negara.

Beliau berkata, matlamat perjuangannya yang terkandung dalam manifesto semasa bertanding untuk jawatan Presiden MCA pada tahun 2005 dan 2008 lalu akan terus diperjuangkan sekalipun beliau tidak lagi memegang jawatan dalam parti.

"Saya percaya Malaysia boleh menjadi negara terkaya, lebih kaya daripada Singapura dan saya mahu kekayaan negara ini dikembalikan kepada rakyat semua kaum dalam negara," tambahnya.

Menjawab soalan pemberita Chua berkata, desas-desus kononnya beliau menyertai pembangkang bukan kali pertama.

"Dalam pilihan raya umum lalu saya ditawarkan bertanding sebagai calon parti pembangkang, tetapi saya menolaknya," katanya.

Katanya, dalam pertemuan dengan anggota jawatankuasa MCA bahagian, beliau meminta mereka supaya menyokong Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat yang pernah dijemputnya dua kali datang ke bahagian Bakri sebelum ini.

"Dengan ini, saya sudah melakukan yang termampu untuk menyatukan kembali anggota-anggota parti," katanya katanya sambil menegaskan perletakkan jawatan beliau itu tidak bermakna beliau akan berdiam diri selepas ini.

Mengulas konsep 1Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini beliau berkata, kesannya masih belum nampak dan rakyat sedang menunggu sejauh mana pelaksanaannya.

"Saya tahu Datuk Seri Najib hendak buat 'reform' untuk membela rakyat semua kaum. Tapi kesannya masih belum nampak," katanya.

Pada pemilihan MCA tahun lalu, Chua tewas kali kedua dalam cubaannya untuk merebut jawatan Presiden parti selepas gagal pada kali pertama pada tahun 2005 lalu.

Beliau kemudiannya tidak dipilih sebagai calon BN untuk kawasan Parlimen Bakri pada pilihan raya umum lalu, dan kerusi Parlimen yang sebelum ini disandangnya, kemudiannya jatuh kepada parti pembangkang.

Tiada ulasan: