Ahad, 5 Julai 2009

Jualan kereta tua susut 70 peratus

Firma enggan baharui insurans, perketat syarat

Oleh Siti Haliza Yusop


KUALA LUMPUR: Syarikat kereta terpakai terjejas teruk sehingga penurunan jualan 70 peratus kereta berusia lebih 10 tahun, selepas syarikat insurans menolak permohonan memperbaharui insurans kenderaan berharga di bawah RM10,000.

Pemilik kenderaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan agak tinggi untuk membeli polisi insurans selepas syarikat insurans memperketatkan proses kelulusan memperbaharui insurans.

Pengurus syarikat kereta terpakai, Jeffrey Wong, berkata urusan insurans yang sebelum ini boleh diselesaikan dalam masa singkat, kini mengambil dua hingga tiga hari menyebabkan pengguna gusar.

"Oleh sebab syarikat insurans mengambil masa meluluskan permohonan itu, pengguna beranggapan kereta itu menghadapi masalah dan membatalkan niat membeli kereta, " katanya.

Ejen insurans kereta, P M Yap, berkata tindakan syarikat insurans menolak permohonan memperbaharui insurans kereta kategori itu tidak wajar dan menyulitkan pembeli.

"Pemilik kereta baru dan berpendapatan tinggi tidak terjejas tetapi kerajaan perlu melihat kepada golongan berpendapatan sederhana serta rendah yang kebanyakannya masih memiliki kereta lebih 10 tahun, " katanya.

Pemilik kereta, Hamsan Talib, berkata syarikat insurans perlu mengambil kira keadaan sesuatu kenderaan itu ketika memproses permohonan memperbaharui insurans.

"Saya tidak menafikan pengguna mempunyai pilihan membeli kenderaan baru, malah kerajaan kini memberi rebat RM5,000 bagi penukaran kereta lama kepada kenderaan keluaran Proton atau Perodua tetapi dengan membeli kereta baru kami tanggung hutang," katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Lembah Klang, Abdul Jalil Maarof mengakui teksi yang berusia 10 tahun tidak dapat memperbaharui insurans dengan mudah berbanding sebelum ini.

"Kami minta Bank Negara dan persatuan insurans membantu memberi kemudahan kepada industri pengangkutan awam kerana kami susah mendapat insurans, jika beli pun dengan harga mahal," katanya.

Tiada ulasan: