Jumaat, 3 Julai 2009

Jentera BN sedia tepis dakyah Pas

Oleh Ismail Mat


KOTA BHARU: Jentera Barisan Nasional (BN) diarah sedia menghadapi taktik kotor parti lawan yang mahu menjejaskan peluang calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata taktik kotor mula digunakan pihak tertentu sebaik Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat diumumkan calon BN termasuk diserang peribadi dengan tohmahan dan fitnah.

“Dia diserang menerusi portal berita di internet. Walaupun sudah dinafikan, saya percaya lebih banyak serangan peribadi dibuat terhadap calon BN.

“Pelbagai gambar fitnah yang disediakan termasuk teknik pertindihan mereka tabur seperti pada pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Bukit Gantang sebelum ini.

“Penduduk juga perlu sedia memahami politik kotor digunakan mereka yang mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara,” katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menyifatkan serangan peribadi yang ditujukan kepada calon BN itu bertujuan mengelirukan pengundi.

Mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron kononnya penduduk dan pengundi Manek Urai tidak memerlukan wakil rakyat terpelajar mewakili mereka, beliau berkata pemimpin Pas kini cuba memperlekehkan tahap pemikiran dan mentaliti penduduk.

“Hakikatnya, kejayaan ratusan ribu anak kita hari ini yang asalnya daripada keluarga miskin dan tinggal di kampung adalah hasil dasar pendidikan BN dan Umno.

“Selepas berjaya, mereka perlu diberi peluang berbakti kepada masyarakat.

“Pas cuba mencari helah supaya isu pendidikan tidak ditimbulkan di Manek Urai.

“Kalau tak perlu wakil rakyat terpelajar atau berpendidikan, mengapa pula Pas letakkan Dr Hatta Ramli sebagai Ahli Parlimen Kuala Krai. Jangan pilih kasih dan memperlekehkan orang kampung kalau Pas sudah memilih peraih ikan sebagai calon,” katanya.

Justeru, Ahmad berkata, penduduk Manek Urai kini meletakkan harapan tinggi untuk melihat Tuan Aziz menang kerana beliau lebih diyakini mampu membawa perubahan kepada kehidupan mereka.

“Harapan penduduk Manek Urai itu disampaikan kepada saya sepanjang gerak kerja sebulan lalu. Setakat ini, saya sudah bermalam di rumah penduduk di tujuh kawasan peti undi sambil beramah mesra dan bersemuka menerusi ceramah kumpulan kecil,” katanya.

Tiada ulasan: