Jumaat, 31 Julai 2009

Jangan teruja fatwa haramkan demo anti-ISA

Jimadie Shah Othman


Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub meminta ahli parti itu tidak "teruja" dengan fatwa yang mengharamkan orang ramai berdemonstrasi menentang akta ISA di Istana Negara, petang esok.

"Kepada ahli PAS, saya minta mereka tidak terpengaruh atau teruja dengan fatwa pihak lain. Bagi PAS, ia satu kewajipan (untuk hadir).

"Dan telah dikeluarkan kenyataan, bahawa kehadiran mereka esok adalah wajib bagi menentang akta yang zalim (ISA), yang telah berkuatkuasa selama 49 tahun," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara tengah hari tadi.

Salahuddin berkata, kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri.

"Ini saya harap dapat menjawab apa jua tohmahan dan tuduhan. Antaranya, yang menyatakan haram (hukumnya) menyertai perhimpunan ini.

"Ia telah diberikan restu oleh pimpinan PAS, iaitu presiden (Abdul Hadi) dan tok guru mursyidul am (Nik Aziz)," katanya.

Kelmarin, seorang timbalan menteri dan mufti dilaporkan menyifatkan "berdosa" bagi mereka yang terbabit secara langsung dalam perhimpunan itu kerana jelas bertentangan dengan Islam dan boleh mencetuskan ketegangan dan huru-hara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata Islam tidak menggalakkan umatnya menyertai dan menganjurkan majlis yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata jika perhimpunan boleh mendatangkan huru-hara, haram bagi mana-mana pihak menyertainya apatah lagi perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Beliau dipetik berkata, jika undang-undang sudah mengklasifikasikan perhimpunan itu sebagai haram, maka hukumnya menganjur dan menyertai perhimpunan itu adalah haram.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan hukum mengenai akta kontroversi itu merupakan isu besar dan membabitkan kepentingan umat.

Menulis di dalam blognya Rabu lalu, ulama muda itu menuntut pandangan rasmi majlis tersebut sebagai agensi rasmi kerajaan yang supaya menjadi panduan kepada pemerintah.

Menurutnya, sekarang tiba giliran mufti memberikan pandangan kerana banyak pihak telah menyuarakan perkara itu, termasuk beliau sendiri.

September tahun lalu, Dr Asri dilaporkan berkata, “Islam tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya” kerana ia dibina oleh hujah dan dasar yang jelas.

Katanya, menangkap orang menggunakan ISA tidak akan menghilangkan salah faham terhadap Islam.

Tiada ulasan: