Isnin, 20 Julai 2009

Jambatan baru Manek Urai tetap dibina: Shaziman

BERITA HARIAN ONLINE


TAMPIN: Kerajaan akan tetap membina jambatan baru menghubungkan Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru serta membaik pulih 500 rumah penduduk miskin walaupun Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Selasa lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata pendirian kerajaan ialah sesuatu projek infrastruktur, termasuk di Manek Urai akan dilaksanakan jika ia adalah keperluan asas kepada penduduk tempatan.

"Bagaimanapun, ia perlu mengikut prosedur seperti pelaksanaan projek infrastruktur lain dan melihat bajet diperlukan. Saya boleh katakan kerajaan positif (pembinaan jambatan baru di Manek Urai)," katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Tampin di Dewan Perbandaran Tampin, semalam.

Ketika kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan komitmen BN untuk membina sebuah jambatan baru dua lorong berharga antara RM7 juta dan RM10 juta di Kampung Manek Urai Lama, jika BN memenangi pilihan raya kawasan itu.

Bagaimanapun, Pas mengekalkan kerusi itu apabila calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, menang majoriti 65 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat.

Di KOTA BHARU, Kerajaan Pusat semalam, meluluskan peruntukan RM2 juta bagi membaik pulih 500 rumah penduduk miskin di DUN Manek Urai.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Mustapa Mohamed, berkata ia sebahagian janji Kerajaan Pusat bagi meningkatkan taraf hidup penduduk Manek Urai.

“Kita mengenal pasti 500 rumah yang perlu diperbaiki,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MTPNK di sini, semalam.

Tiada ulasan: