Sabtu, 18 Julai 2009

Jalur Lebar Selangor Bakal Pulih, Kontraktor Hadapi Dakwaan

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


Insiden perkhidmatan jalur lebar yang tergendala di semua bangunan kerajaan, termasuklah bangunan pihak berkuasa tempatan (PBT) Jumaat lalu, bakal pulih dalam masa terdekat, kata Pengarah Pusat Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) Selangor, Wahilman Siwar.

Malah talian jalur lebar ini juga bakal digantikan dengan talian baharu daripada pembekal perkhidmatan komunikasi, Telekom Malaysia (TM) dengan menggunakan Streamyx sebagai alternatif bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Kita tengah tarik talian TM temporary, kita ada penyelesaian jangka pendek dan juga penyelesaian jangka panjang, jangka pendek kita akan tarik talian Streamyx ke semua pejabat-pejabat daerah dan jangka panjang kita akan buat penyelesaian yang tetap punya”, kata Wahilman ketika ditemui di Ibu Pejabat Kerajaan Negeri Selangor.

Menurutnya, satu laporan polis bakal dibuat dalam masa terdekat berhubung insiden yang melibatkan kehilangan beberapa peralatan dan kelengkapan utama yang merupakan nadi kepada jalur lebar kerajaan negeri Selangor, yang diambil tanpa kebenaran.

“Kita akan buat laporan polis berkenaan kehilangan barang-barang di premis SUK dan kita akan buat tindakan selanjutnya”, kata Wahilman lagi.

Wahilman juga mendakwa kontraktor jalur lebar, Orbenet Sdn Bhd menceroboh bilik yang menempatkan peralatan dan kelengkapan yang tidak sepatut dimasuki tanpa kebenaran.

Antara peralatan dan kelengkapan utama jalur lebar tersebut ialah router dan switches yang didapati hilang dari bilik tersebut.

“Barang tu merupakan nadi kepada jalur lebar Selangor lah, kalau dia ambik bawak keluar barang tu maksudnya perhubungan jalur lebar Selangor itu terputuslah, peralatan tu milik dia iaitu Router dan Switch ,cuma premis dia punya bilik tu adalah premis tu kepunyaan kerajaan negeri lah, cuma dia masuk dia ambik barang tu tanpa kebenaran ataupun tanpa pengetahuan pegawai-pegawai saya”, katanya lagi.

Sehingga kini, terdapat beberapa perkhidmatan kerajaan negeri yang terjejas, antaranya siaran langsung Sidang Dewan Selangor minggu lalu, sistem carian nama dan maklumat tanah dan perkhidmatan talian terus pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebelum ni kita punya jalur lebar kita sambung pejabat PTG ke dan semua 9 pejabat daerah jadi sekarang bila talian terputus pada 10hb, hari Jumaat lepas, jadi kutipan cukai masih boleh dibuat local lah, maksudnya dekat PTG ataupun daerah-daerah berkenaan, cuma yang boleh buat tu pertanyaan, the inquiry across daerah katakan Sabak Bernam nak cek dia punya maklumat dekat Kuala Selangor, Sepang nak cek dekat Gombak, yang itu masih terjejas lah sebab kita punya sambungan ke daerah-daerah tu belum up lah, kita sekarang tengah buat sambungan kontigensi ke semua daerah-daerah untuk disambung ke pejabat PTG”, jelasnya lagi.

Bagi Pejabat Tanah dan Galian Selangor pula, masalah ini tidak banyak menjejaskan operasi kaunter dan kutipan cukai taksiran dan tanah semasa.

Ini kerana orang ramai boleh membuat bayaran di tujuh bank secara atas talian ataupun datang sendiri ke kaunter bayaran yang disediakan di sembilan daerah yang berdekatan.

“Dengan terputusnya jalur lebar ni sedikit menimbulkan masalah lah, mereka boleh membayar ke sembilan district di setiap district la, bagi mereka yang berdekatan boleh bayar di PTG la. Dari segi hasil bukan maknanya kurang, kita sana ada sistem online tujuh bank, maknanya derang boleh bayar melalui online laa internet banking, jadi tidak terjejas secara banyak dalam keadaan dewasa ini laa, keadaan ekonomi sekarang ni maka terpulang kepada pembayar-pembayar cukai daya usaha pembayar cukai membayar cukai bergantung kepada cukai ini tanggungjawab individu berkenaan”, kata Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Kamarulzaman Jamil.

Malah kutipan cukai hasil meningkat pada pertengahan tahun ini yang banyak bergantung kepada kesedaran orang ramai menunaikan tanggungjawabnya bagi mengelakkan tindakan kompaun atau sita oleh PBT.

Tiada ulasan: