Khamis, 9 Julai 2009

Husam: KJ cuba elak isu royalti

MALAYSIA KINI


Ketua Pemuda Umno cuba mengalihkan isu royalti minyak Kelantan dengan menuduh seorang exco negeri Datuk Husam Musa cuba menghalang timbalan presiden PAS berkempen di Manek Urai.

Menafikan tuduhan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam, Husam juga berkata beliau sekadar ahli jawatankuasa pusat PAS dan tiada kuasa menghalang Nasharuddin Mat Isa berceramah pada pilihanraya kecil DUN tersebut yang sedang berlangsung hingga Selasa depan.

"Saya ingat dia (Khairy) nak larikan perhatian daripada isu royalti minyak. Royalti minyak yang dia kena jawab. Ini Umno yang buat.

"Kita tak ada sekat sesiapa. Mungkin dia (Nasharuddin) ada kerja lain, (jadi) dia tak datang lagi. Di Parlimen pun dia tak pergi," katanya apabila diminta mengulas isu ketidakhadiran pemimpin kanan PAS itu yang dijadikan modal kempen Umno di Manek Urai.

"Takkan di Parlimen pun saya yang larang. Mungkin sehari dua lagi (dia datang)," kata Husam lagi, yang kalah di tangan Nasharuddin sewaktu bertanding merebut jawatan nombor dua itu pada muktamar PAS, awal bulan lepas.

Susulan perebutan itu, Khairy mendakwa Husam "berdendam akibat kalah" di tangan penyandang jawatan tersebut.

Tiada ulasan: