Isnin, 20 Julai 2009

Hishammuddin yakin ahli terima syor pinda perlembagaan

BERITA HARIAN ONLINE


KLUANG: Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yakin semua bahagian yang mengadakan mesyuarat perwakilan semalam sudah mengumpul cadangan akar umbi mengenai pindaan perlembagaan parti itu.

Beliau berkata, arahan sudah dikeluarkan sebelum ini dan beliau percaya ia dipatuhi semua bahagian bagi memastikan suara akar umbi diberi perhatian khusus untuk melengkapkan pindaan perlembagaan berkenaan.

“Saya lebih suka cadangan pindaan perlembagaan datangnya daripada peringkat bawah dan kesempatan mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian sekarang adalah masa terbaik untuk mendengar suara akar umbi.

“Saya akan umumkan pindaan perlembagaan itu pada perhimpunan khas sebelum Perhimpunan Agung Umno akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Sembrong di Dewan Kejora, Taman Sri Lambak, di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, setakat ini beliau menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak khususnya beberapa cawangan Umno.

Di KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, berkata sehingga kini pihaknya menyerahkan kepada Pemuda Umno negeri untuk mengumpul cadangan akar umbi mengenai pindaan perlembagaan parti melalui mesyuarat perwakilan Pemuda.

“Maklum balas kita terima amat bagus dengan pelbagai cadangan dikemukakan, ada yang mahu supaya 60,000 ahli dibenarkan mengundi dan ada juga mahu supaya semua ahli diberi peluang.

“Setelah kita mendapat maklum balas, Pemuda Umno akan mengkaji cadangan yang sewajarnya bagi membolehkan pindaan dilakukan memberi manfaat besar kepada Umno,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno bahagian Serdang di sini, semalam.

Tiada ulasan: