Jumaat, 17 Julai 2009

Hasrat UMNO tidak kesampaian

SINAR HARIAN ONLINE


IPOH – Usaha UMNO meraih kemenangan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan kelmarin, sebagai sia-sia walaupun pelbagai janji ditaburkan ketika membantu kempen calon Barisan Nasional kepada pengundi.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, kemenangan Pas itu, walaupun dengan majoriti hanya 65 undi adalah satu tamparan hebat kepada UMNO.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak berkata, jika melihat kepada janji yang ditaburkan oleh UMNO semasa berkempen, Pas memang tidak ada harapan untuk menang dan akan mengalami kekalahan teruk.

“Taburan janji UMNO cukup hebat dengan sogokan wang untuk membina pelbagai kemudahan kepada masyarakat setempat serta pelbagai lagi dengan janji kemewahan jika mereka mengundi UMNO.

“Tetapi, janji mereka hanya nampak sia-sia sahaja kerana masyarakat di sini masih menyokong penuh kepimpinan Pas di Kelantan khususnya bawah teraju Datuk Nik Aziz Nik Mat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas kemenangan yang diraih calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah yang mengalahkan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti 65 undi dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai kelmarin.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussin berkata, kemerosotan undi Pas pada pilihan raya kecil itu akan dikaji dalam masa terdekat bagi melihat kembali apakah faktor penyebab ia berlaku.

Menurutnya, kajian menyeluruh akan dibuat bagi melihat sama ada faktor sogokan wang, kesedaran atau sebaliknya yang berlaku dalam kelompok masyarakat di kawasan berkenaan.

Katanya, buat masa ini, belum dapat dipastikan lagi punca Pas hanya meraih majoriti 65 undi sahaja berbanding 1,352 undi ketika Pilihan Raya Umum ke-12, 2008.

“Mengulas mengenai dua puteri UMNO yang didakwa cedera dibaling batu, saya melihat isu berkenaan sengaja dipropagandakan dengan menuduh penyokong Pas berbuat demikian.

“Padahal, kita tidak mendapat apa-apa pengesahan mengatakan penyokong Pas yang membaling batu berkenaan, lagipun pihak polis masih menjalankan siasatan,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa pula menyifatkan pengundi di Manek Urai berubah-ubah pendirian dan kecenderungan.

Menurutnya, kalau dilihat pada sejarah pilihan raya di Manek Urai bermula 1999, Pas menang, 2004 giliran UMNO dan 2008 Pas kembali merebut kerusi DUN berkenaan serta pilihan raya kecil ini juga memihak kepada Pas.

Tiada ulasan: