Khamis, 23 Julai 2009

Harga gas Semenanjung kekal RM10.70

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga gas sedia ada di Semenanjung Malaysia iaitu RM10.70 setiap juta unit termal British (MMBtu).

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam kenyataannya di sini hari ini memberitahu, sehubungan itu, tarif elektrik yang sedang terpakai di Semenanjung Malaysia adalah kekal pada kadar purata 31.31 sen sekilowat jam (kWj) sehingga akhir tahun ini.

"Kabinet dalam mesyuarat pada pagi ini telah mengkaji cadangan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk menyemak semula harga gas sektor elektrik.

"Setelah mengambil kira keadaan ekonomi semasa, kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan harga gas sedia ada," menurut kenyataan itu.

Baru-baru ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, kertas kerja mengenai cadangan kenaikan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia akan dibentangkan kepada Kabinet hari ini.

Menurut beliau, keputusan mengenai tarif baru elektrik dijangka berkuat kuasa bulan depan jika kertas kerja mengenainya diluluskan oleh Kabinet.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh pula dilaporkan berkata, kenaikan tarif elektrik hanya akan dilaksanakan sekiranya kerajaan menaikkan harga gas.

Kenaikan itu, menurut Che Khalib, adalah untuk menampung harga kos sekiranya harga bahan api itu meningkat.

Tiada ulasan: