Jumaat, 24 Julai 2009

Hairan siasatan hampir selesai tiada satu pun di reman

Adnan Ibrahim


Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu siasatan polis berhubung kes kematian mengejut setiausaha politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock kini tinggal 10 atau 15 peratus untuk dibereskan, dan ia dijangka siap sepenuhnya sebelum inkues bermula minggu depan.

Namun begitu apa yang pelik sehingga kini tidak ada seorang pun di reman atau mereka disyaki ditahan dalam kes kematian mengejut tersebut.

Apakah polis sudah mempunyai rumusan yang diatur cukup hebat sehingga dapat meyakinkan rakyat bahawa Teoh membunuh diri?

Apakah terdapat perancangan bersama pihak polis dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup kes sebenar kematian yang sebelum ini diklaskan sebagai mengejut?

Ini kerana terdapat dakwaan peguam keluarga Teoh, Lim Lip Heng sebagaimana dilaporkan media maya menyifatkan pihak polis mahu "melepaskan para pegawai SPRM dari sebarang beban" ekoran kejadian kematian mengejut Teoh itu.

Ahli Parlimen Segambut itu juga berkata, dalam siasatan ke atas tunang dan ahli keluarga Teoh, pihak polis ingin tahu apakah mendiang berada dalam keadaan tertekan, melakukan tindakan yang boleh membunuh dirinya atau menghadapi masalah kewangan.

"Tetapi keluarga (Teoh) menafikan semua itu. Teoh ceria dan tidak ada masalah di tempat kerja. Teoh tidak ada masalah kewangan, bergaul dengan baik dengan setiap orang dan dalam persiapan untuk perkahwinannya," kata beliau.

Lim juga memberitahu, pihak polis juga mengemukakan "soalan yang menarik" kepada tunang Teoh, Soh Sher Wei iaitu sama ada Teoh menukar kasutnya setiap hari.

Ia berkaitan dengan pendedahan pegawai penyiasat bahawa kasut Teoh kelihatan terkoyak ketika mayatnya ditemui.

"Mereka bertanya apakah Teoh mempunyai banyak pasang kasut dan kasut saiz apa yang dipakainya... tunang Teoh memberitahu bahawa Teoh mempunyai beberapa pasang kasut dan beliau jarang menukar kasutnya melainkan rosak tetapi pada hari yang malang itu beliau memakai kasut baru," kata Lim.

Seorang lagi peguam, Eric Tan Pok Shyong mendakwa, kebanyakan soalan polis difokuskan kepada kemungkinan Teoh tidak terbunuh akibat tindakan pegawai SPRM.

"Contohnya, mereka bertanya tentang karakter Teoh, pernahkah beliau merungut tentang kerjanya sebelum mati, dan cuba mengaitkan dengan kerjanya dan kemungkinan beliau membunuh diri akibat tekanan tersebut," kata beliau.

"Mereka juga bertanya adakah Teoh menghisap rokok. Saya meneka satu-satunya sebab mereka bertanya soalan tersebut adalah untuk cuba menyimpulkan bahawa beliau mungkin terjatuh dari tingkap ketika menghisap rokok di situ," katanya.

Bagaimanapun, keluarga Teoh menolak kemungkinan beliau membunuh diri dan memberitahu bahawa Teoh juga bukan seorang perokok.

JIka dakwaan seumpama ini mahu diwujudkan oleh pihak yang melakukan siasatan terhadap kes tersebut, nescaya kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bertambah bermasalah selepas keperibadian beliau sendiri banyak menimbulkan tanda tanya.

Najib perlu memastikan pegawai beliau bekerja bagi memastikan kejayaan satu Malaysia untuk memulihkan sokongan kaum Cina dan India kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ini bermakna Najib tidak boleh berkompromi dengan pihak pegawai beliau sendiri yang tidak menguntungkan kerajaan dan slogan serta dasar membawa perubahan yang secara tidak langsung menarik kembali sokongan rakyat kepada BN.

Sementara keluarga dan kawan Teoh menyifatkan Teoh bukan seorang mudah tertekan dengan kerja dan tugas yang dibebankan keatas beliau.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Hwa ketika ditemui di Kajang, memberitahu beliau mengenali Teoh tiga tahun dahulu dan menyifatkan Teoh sebagai orang yang baik dan muah diajak berunding.

Tambah beliau dengan sifat dan tingkah laku Teoh yang beliau kenali maka amat tidak munsabah untuk mengklasifikasikan Teoh seorang yang mudah tertekan dan mengambil jalan singkat dalam mengakhiri kehidupan beliau. _

Tiada ulasan: