Rabu, 29 Julai 2009

GMI teruskan demo, Pewaris ikut

Jimadie Shah Othman


Majlis Permuafakan Ummah (Pewaris) akan meneruskan hasratnya untuk mengadakan demonstrasi menyokong ISA sekirannya kumpulan penentang ISA - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) - meneruskan perhimpunan mereka Sabtu ini, walaupun polis memberi amaran supaya mereka membatalkannya.

Manakala GMI pula, ketika dihubungi Malaysiakini, berkata perhimpunan yang dirancangkan itu akan tetap diteruskan Sabtu ini.

Pewaris dan GMI menegaskan demikian ketika diminta mengulas amaran keras Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman supaya mereka membatalkan perhimpunan tersebut.

Dalam sidang akhbarnya hari ini, Muhammad Sabtu berkata ia dikhuatiri menimbulkan ketegangan dan mengancam keselamatan awam, di samping ia merupakan satu perhimpunan haram.

Katanya, beliau telahpun memanggil Pewaris semalam untuk memaklumkan perkara itu manakala pihaknya akan menemui GMI esok.

Sementara itu, Timbalan Presiden II Pewaris, Rahimuddin Md Harun berkata, mereka hanya akan membatalkan perhimpunan itu sekiranya GMI sebagai kumpulan yang menentangnya, turut mengambil tindakan yang sama.

"Kita akan teruskan (perhimpunan itu). Kalau GMI tarik diri, baru kita tarik diri. Perjuangan rakyat bukan pada polis saja, kita cuma hendak pertahankan hak kita," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Minta polis timbang semula

Manakala Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh pula berkata, pihaknya berpendirian, perhimpunan itu sejak awal lagi tidak bertujuan untuk mencetuskan huru-hara.

"Setakat ini kita masih setuju teruskan. Ini hak rakyat berhimpun secara aman. Mungkin kehendak kumpulan satu lagi (pro-ISA) yang menyebabkan polis ambil tindakan itu.

"Kita mahu berhimpun secara aman, kita telah keluarkan panduan kepada peserta kita," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sehubungan itu, Syed Ibrahim berharap pihak polis dapat menimbang semula arahan tersebut atas semangat demokrasi.

Ditanya mengenai kenyataan ketua polis Kuala Lumpur untuk menemui GMI esok berhubung arahan tersebut, beliau berkata:

"Ianya tidak perlu sebab kita telah maklumkan (kepada polis)".

Tiada ulasan: