Khamis, 30 Julai 2009

Gerakan buat laporan SPRM

Oleh NURUL HUDA HASSAN


PULAU PINANG - Gerakan negeri hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung proses tukar hak milik tanah Kampung Buah Pala yang didakwa dilakukan oleh kerajaan negeri.

Naib Ketua Pemudanya, H'ng Khoon Leng berkata, laporan dibuat melalui faksimile dan e-mel yang dialamatkan kepada Pengarah SPRM negeri, Latifah Md. Yatim pada pukul 1.22 petang.

Katanya, tindakan kerajaan negeri itu sebenarnya yang telah 'membunuh' harapan penduduk kampung berkenaan apabila surat pengesahan pemilikan tanah itu dilakukan selepas dua minggu mengambil alih kepimpinan negeri ini.

Tambahnya, ia jelas terbukti apabila kerajaan negeri membayar baki premium sebanyak RM2.4 juta kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang (Koperasi) pada 14 Mac 2008.

Menurutnya, surat pengesahan pemilikan tanah berkenaan yang berstatus Tanah Negara pula telah disempurnakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada 27 Mac 2008.

Sedangkan pada hakikatnya, beliau menjelaskan, perjanjian sebenar telah pun terbatal kerana baki bayaran dibayar selepas tempoh diberikan tamat, tetapi kerajaan negeri di bawah pimpinan Guan Eng memilih untuk meneruskan perjanjian tersebut.

''Bayaran pertama dibuat pada 25 April 2007 dan mereka perlu membayar baki dalam tempoh tiga bulan, namun baki hanya dibayar pada 14 Mac 2008 iaitu enam hari selepas mereka memerintah negeri ini.

''Ini yang menimbulkan keraguan dan menjadi tanda tanya, mengapa ia dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa sehingga penduduk kampung kalah dalam proses mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, perkara tersebut memerlukan perhatian serius memandangkan DAP telah membuat pelbagai janji kepada penduduk kampung itu bahawa rumah mereka akan kekal dan selamat.

Mengulas lanjut, Khoon Leng memberitahu, perjanjian proses tukar milik tanah yang dibuat kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum itu adalah untuk memastikan kebajikan penduduk di situ diutamakan.

Tiada ulasan: