Jumaat, 24 Julai 2009

Gambaran Sebenar Nasib Masyarakat Penan

Oleh Caroline Jackson

MULU (Sarawak) -- Belulak Seng, penghulu penempatan Batu Bungan yang merupakan sebuah penempatan masyarakat Penan yang terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Mulu di Taman Negara Mulu Sarawak, berhubung dengan dunia luar menerusi telefon bimbitnya.

Sebelum ini beliau dan anggota masyarakatnya hidup berpindah-randah di kawasan taman negara itu mencari hasil hutan selain balak. Bagaimanapun, mereka kini berkebun sayur, menternak haiwan dan menjual kraftangan kepada pelancong yang melawat penempatan mereka.

Mereka menetap di rumah panjang 28-pintu yang terletak berlatarbelakangkan panaroma bukit batu kapur dan Sungai Melinau yang mengalir ke arah Gua Mulu yang merupakan warisan dunia.

"Kami kini mengamalkan kehidupan yang lebih rutin dan berpendapatan agak tetap. Kami boleh berhubung dengan anak kami yang belajar di sekolah berasrama (SK Tutoh Apoh) di Long Panai, yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan di hilir," kata beliau menerusi seorang penterjemah.

Beberapa daripada pemuda Penan bekerja di taman negara itu dan juga di Royal Mulu Resort, yang kebanyakan tetamu di situ adalah pelancong-eko dari Eropah dan Australia.

"Terima kasih kerana datang ke sini dan meninjau bagaimana kehidupan kami dan dalam membantu kami mengatasi masalah di masa depan," kata beliau kepada satu delegasi perdagangan kayu kayan dari Eropah semasa satu lawatan yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC).

SUBJEK KONTROVERSI

Kehidupan Belulak dan masyarakat beliau jauh berbeza berbanding gambaran buruk yang disebarkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa masyarakat Penan, dengan bilangan mereka dianggarkan 10,000 orang, menghadapi masa depan yang tidak menentu kerana habitat hutan mereka semakin kepupusan akibat aktiviti pembalakkan.

Nasib masyarakat Penan merupakan subjek kontroversi sejak mereka membantah operasi pembalakan di tempat mereka, termasuk Baram, Limbang, Tutoh dan Lawas sejak 1990-an.

Seperti masyarakat pribumi lain yang tinggal di kawasan operasi syarikat-syarikat pembalakan, Belulak juga berwaspada akan aktiviti pembalakan di belakang rumah panjangnya yang menimbulkan rasa tidak selesa.

Bagaimanapun, keutamaan sekarang bagi ketua Penan ini dan 300 penduduk di penempatan itu ialah bekalan air bersih dan elektrik. Mereka berharap kerajaan akan membekalkan kedua-duanya selain dokumen-dokumen penting seperti sijil kelahiran atau Mykad.

Pengarah MTC London Sheam Satkaru berkata konflik antara hak pribumi dan penggunaan tanah negeri merupakan isu sangat rumit yang membawa perhatian antarabangsa kepada masyarakat Penan, khasnya kerana publisiti global yang dijana oleh Yayasan Bruno Manser.

Beliau berkata hanya kerana mereka menetap di hutan, andaian lazim ialah industri pembalakan akan mengusir mereka dari hutan.

Tanggapan negatif ini diambil kesempatan oleh sebuah NGO yang berpangkalan di Switzerland yang diasaskan oleh Bruno Manser, seorang aktivitis alam sekitar yang mendakwa dirinya sebagai pejuang nasib masyarakat Penan pada 1990-an.

Bagaimanapun, masyarakat Penan baru-baru ini sekali lagi menjadi perhatian selepas mereka mendakwa berlaku gangguan seksual terhadap kaum hawa mereka angkara pekerja sebuah syarikat pembalakan utama di kawasan Baram.

Satkaru apabila ditemui oleh Bernama semasa lawatan itu berkata wakil-wakil daripada pasaran kayu kayan sedang muncul dan United Kingdom, Jerman, Belanda, Poland, Itali dan Greece puas hati dengan penjelasan yang diminta semasa satu dialog bersama penduduk Penan.

Objektif MTC ialah untuk membetulkan tanggapan negatif dengan berkomunikasi menerusi seminar, surat berita, laporan, rencana selain daripada menjemput wakil-wakil asing yang bertanggungjawab dari industri kayu-kayan, NGO dan media untuk melihat sendiri hutan hujan dan memahami dengan lebih baik keperluan menjalankan serentak pemuliharaan dan pengurusan lestari hutan, katanya.

KAGUM DENGAN KEMAJUAN MASYARAKAT PENAN

Sementara itu, Christoph Rullman, pengarah urusan Persatuan Jerman bagi Perlindungan Hutan dan Hutan Jarang kagum dengan usaha kerajaan untuk menempatkan kanak-kanak Penan di sekolah-sekolah dan membawa mereka turut serta dengan masyarakat lain.

Selepas banyak membaca mengenai Malaysia termasuk pembalakan haram, reviu oleh MTC dan pertubuhan-pertubuhan pemuliharaan alam sekitar antarabangsa seperti WWF dan Greenpeace, beliau sebenarnya kagum untuk melihat kanopi hutan kehijauan yang begitu luas dalam penerbangan 30 minit dari Miri ke Mulu.

"Saya faham yang ini isu besar bagi kerajaan Malaysia kerana kami juga akan mengambil tindakan yang sama. Daripada sudut pandangan Eropah ia adalah satu khazanah dan sesuatu yang unik kerana anda masih mempunyai mereka yang hidup di hutan.

"Juga terdapat rasa khuatir yang jika mereka(Penan) maju, mereka akan kehilangan budaya dan adat resam mereka tetapi anda masih perlu membangunkan mereka kerana jika tidak mereka akan pupus ditelan zaman...Anda tidak boleh mengurung mereka dalam hutan," katanya.

Bagi Samling Global Limited, syarikat balak dari Sarawak yang disenaraikan di papan utama Bursa Saham Hong Kong, tanggungjawab sosial merupakan sebahagian daripada operasinya selain daripada berpegang kepada amalan perhutanan lestari.

Ketua Komunikasi Korporatnya Cheryl Yong berkata adalah menjadi amalan masyarakat pribumi, khasnya masyarakat Penan untuk mendirikan halangan di denai-denai balak sebagai tanda yang mereka mahu berunding dan memaklumkan kepada syarikat akan keperluan mereka.

Contohnya, beliau berkata empat daripada lima kampung - Long Main, Long Kepang, Long Benalih dan Ba'Bubui dalam bidangkuasa Unit Pengurusan Hutan Sela'an-Linau merupakan penempatan Penan yang Samling sebagai pemegang konsesi perlu mendapat perkenan masyarakat di situ sebelum boleh masuk dan mengeluarkan balak.

Sehingga kini 149 kampung di Baram, Lawas, Bintulu dan Belaga telah mendapat manfaat daripada program kemasyarakatan yang dijalankan oleh syarikat itu yang termasuk pembinaan pusat-pusat khidmat bagi Penan dan kemudahan asas dan infrastruktur.

Program ini juga menumpukan pada pendekatan "Jangan" tebang dan bakar dan "Ya" kepada pertanian dan penternakan.

Tiada ulasan: