Rabu, 1 Julai 2009

Felda sedia RM80 juta tanam sawit

BERITA HARIAN ONLINE


FELDA memperuntukkan sebanyak RM91 juta dengan RM80 juta bagi tanaman sawit dan bakinya untuk getah di bawah Pelan Tanaman Semula 2009 membabitkan 16 kawasan rancangan termasuk 14 rancangan sawit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata peruntukan itu berasaskan kadar RM5,200 sehektar bagi penanaman sawit, manakala bagi rancangan getah, kos tanaman semula dibiayai melalui bantuan tanam semula Risda membabitkan kos RM7,000 sehektar.

Katanya, keluasan tanaman yang terbabit dalam pelan itu ialah sebanyak 25,209.2 hektar iaitu 22,130.58 hektar bagi tanaman sawit dengan pembabitan 6,353 peneroka, manakala 3,078.62 hektar bagi tanaman getah (844 peneroka).

“Kerajaan menyediakan kemudahan pinjaman sara hidup bagi tempoh belum berhasil iaitu 36 bulan untuk tanaman sawit dan 72 bulan untuk tanaman getah, katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau).

Kadar bayaran sara hidup untuk sawit ialah RM100 untuk 0.4 hektar bagi tahun pertama, RM120 (tahun kedua), RM130 (tahun ketiga).

Bagi tanaman getah, peneroka akan menerima bayaran RM100 bagi 0.4 hektar bagi tahun pertama, RM120 (tahun kedua) dan RM130 (tahun ketiga hingga tahun keenam).

"Sara hidup akan diganti dengan bayaran pendahuluan hasil berasaskan RM140 untuk 0.4 hektar apabila kebun mengeluarkan hasil.

"Seandainya berlaku lebihan pendapatan dan kenaikan harga komoditi, bayaran lebihan hasil akan diberikan kepada peneroka," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau).

Najib berkata, sehingga kini seluas 345,501 hektar sudah ditanam semula membabitkan 87,214 peneroka.

Katanya, dalam tempoh 2009 hingga 2011, kerajaan meluluskan untuk menyiapkan sepenuhnya kerja tanam semula kebun peneroka bagi kawasan seluas 92,840.11 hektar membabitkan 21,000 peneroka dengan kos sebanyak RM3.1 bilion.

"Felda mengurus tanam semula kebun peneroka untuk memastikan kebun diurus dengan baik dan produktiviti kebun ditingkatkan," katanya.

Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol), Perdana Menteri berkata, mulai 2004, Felda memberi sumbangan atas kadar dua nisbah satu iaitu RM2 disumbangkan oleh Felda dan RM1 oleh peneroka bagi membiayai kos pelupusan sampah.

Beliau berkata, bermula September 2007, Program Anugerah Keceriaan Kampung Felda dilancarkan dengan hadiah RM1 juta untuk johan di kesemua 317 rancangan Felda.

"Program itu bertujuan menukar wajah perkampungan Felda menjadi komuniti taman dan menjadikan warga peneroka komuniti contoh luar bandar.

"Pelaksanaan program ini termasuk pengurusan kutipan sampah berjadual, pengurusan Majlis Tempatan Felda dan pengindahan kawasan kampung secara berterusan," katanya.

Tiada ulasan: