Rabu, 8 Julai 2009

'Emas bodoh' jadi kenangan

UTUSAN ONLINE


Azizan Mat Hassan mengumpul 'batu emas' untuk dijadikan koleksi peribadi meskipun Jabatan Mineral dan Geosains mengesahkan ia hanyalah batu sulfat di Kuari Bukit Jelutong, Pendang, Kedah, kelmarin.

PENDANG - Biarpun disahkan bukan emas, orang ramai masih memenuhi tapak kuari di Kampung Jelutong di sini bagi mencari dan menyimpan batu tersebut untuk dijadikan koleksi kenangan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kuari berkenaan semalam mendapati lokasi asal tempat mencari batu emas tersebut telah ditimbus oleh pemilik kuari berkenaan.

Ekoran itu, orang ramai hanya mencari batu itu di sebuah longgokan batu-batu pejal berwarna hitam berhampiran lokasi asal penemuan batu yang didakwa sebelum ini mengandungi emas itu.

Pintu utama untuk memasuki tapak kuari berkenaan juga ditutup dan orang ramai terpaksa menggunakan jalan belakang jika mahu mencari batu tersebut.

Seorang penduduk yang tinggal kira-kira 50 meter dari tapak kuari berkenaan, Cik Bedah Ibrahim, 52, berkata, awal pagi semalam, orang ramai masih berusaha masuk ke tapak kuari berkenaan.

"Mereka masih datang walaupun ketulan batu yang ada di sini bukan emas.

"Mereka hendak lihat sendiri batu tersebut dan saya juga menyimpan batu itu kerana ia cantik dan bersinar apabila terkena cahaya," katanya.

Kelmarin, Jabatan Mineral dan Geosains Kedah/Perlis/Pulau Pinang mengesahkan ketulan batu yang ditemui di kuari Kampung Jelutong, Mukim Tobiar, Pendang dekat sini bukan emas seperti didakwa penduduk.

Pengarahnya, Zainol Husin berkata, ketulan batu yang ditemui itu adalah mineral pyrite (FeS2) dan arsenopyrite (Fe As S) atau dikenali juga sebagai 'emas bodoh' yang berwarna kekuningan.

Kawasan kuari berkenaan mula menjadi perhatian sejak minggu lepas setelah penduduk di kawasan berkenaan mendakwa menjumpai ketulan batu yang didakwa sebagai emas muda.

Ia menyebabkan kawasan tersebut bagaikan pesta apabila diserbu penduduk yang ingin mencuba nasib mencari emas.

Menurut seorang lagi penduduk, Azizan Mat Hassan, 37, dia masih ke tempat tersebut walaupun sudah mengetahui batu berkenaan tidak mengandungi emas.

"Saya saja datang ke sini sebab nak tengok sendiri batu tersebut," katanya.

Tiada ulasan: