Selasa, 7 Julai 2009

Eksekutif wanita trauma video lucah tersebar

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seorang eksekutif wanita trauma dan hidup dalam tekanan sejak seminggu lalu selepas video aksi lucahnya dan gambar yang dirakam bekas teman lelakinya ketika mereka belajar di Australia tersebar dikalangan rakannya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Baby, 25, berkata beliau dimaklumkan mengenai penyebaran video itu oleh rakan kolejnya yang mendakwa ia disebarkan oleh bekas teman lelaki warga Hong Kong yang dikenali sebagai C C Chan.

Baby mendakwa, Chan kemudian turut menghantar video dan gambar aksi lucah itu kepada ibu bapanya yang amat tersinggung dengan perbuatan berkenaan.

Katanya, rakaman video dan klip gambar itu diambil teman lelakinya pada 2004 ketika dia belajar pada tahun dua dalam jurusan sains di sebuah kolej di Australia, manakala Chan mengikuti jurusan perakaunan.

“Percintaan kami bagaimanapun tidak berpanjangan kerana berpisah pada September tahun lalu kerana hilang keserasian mungkin disebabkan cinta jarak jauh.

“Bagaimanapun, jiwa saya terganggu apabila rakan lama menghubungi untuk memaklumkan mereka menerima e-mel mengandungi adegan lucah saya yang dirakam teman lelaki,” katanya pada sidang media anjuran Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong di Wisma MCA di sini, semalam.

Baby berkata, sejak tersebarnya video klip itu, kehidupannya dan keluarganya terganggu, malah Chan selalu menghubungi dan mengganggunya.

“Dia sering menghubungi saya dengan meminta penjelasan mengenai hubungan kami yang terputus sejak 10 bulan lalu.

“Mungkin disebabkan dia (Chan) tidak dapat menerima hakikat dan berdendam, video terbabit yang dirakamkan sejak beberapa tahun lalu dihantar kepada ibu bapa saya,” katanya.

Sementara itu, Chong melahirkan kebimbangan tentang penyebaran video lucah yang dilakukan bagi mengugut mangsa.

“Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana kes seumpama ini selalu didedahkan media.

“Sehubungan itu saya berharap wanita tidak membenarkan rahsia bilik tidur dirakamkan kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Tiada ulasan: