Isnin, 20 Julai 2009

Dun Kota Anggerik Anjur Kelas Tuisyen Percuma Kepada Pelajar Miskin

SINAR HARIAN ONLINE


Kelas-kelas tambahan atau tuisyen banyak membantu pelajar meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan di sekolah rendah dan menengah.

Exco Selangor, yang juga Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata, ramai pelajar yang tidak mengikuti kelas tambahan didapati tercicir atau gagal memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Justeru, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melaksanakan program Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), membabitkan 100 pelajar miskin di setiap Dun.

Menurutnya, program bagi DUN Kota Anggerik yang diadakan setiap Ahad di Masjid Negeri, telah pun bermula pada 18 April lalu, membabitkan semua kaum.

Yaakob berkata, kelas tuisyen yang diwujudkan ini memberi tumpuan kepada 4 mata pelajaran utama iaitu bahasa melayu, bahasa inggeris, matematik dan juga sejarah bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya harap kepada pelajar yang diberi peluang untuk mengikuti kelas tuisyen ini, jangan anggap ia percuma kerana ia juga melibatkan kos yang tinggi juga dan kita harap mereka(pelajar)bersungguh mengikuti tuisyen ini untuk meningkatkan pencapaian”,katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Tuisyen Rakyat Dun Kota Anggerik serta Program Motivasi Bersama Nik Nur Madihah di Masjid Negeri, petang tadi.

Kira-kira 1,000 pelajar menghadiri program anjuran bersama Dun Kota Anggerik dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sementara itu, Pelajar Cemerlang SPM 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohamad Kamal ketika ditemui, menyambut baik usaha kerajaan negeri mewujudkan tuisyen percuma kepada pelajar miskin di negeri ini.

Menurutnya, langkah seperti ini perlu, terutamanya bagi pelajar miskin yang akan menduduki peperiksaan.

Bagaimanapun, katanya, pelajar yang terpilih mengikuti program ini perlu bijak memanfaatkan peluang tersebut untuk meningkatkan prestasi pelajaran mereka.

“Tuisyen Rakyat yang difahamkan percuma ini saya harap gunakanlah sebaik mungkin untuk adik-adik belajar, manfaatkan untuk capai kejayaan.Kerajaan dah sediakan kita bantuan, gunakanlah sebaik mungkin maka tak ada alasan kenapa kita tidak boleh berjaya”katanya.

Madihah berkata demikian kepada TV Selangor selepas menyampaikan motivasi kepada pelajar dari sekitar Shah Alam, petang tadi.

Beliau yang ditemani ibu bapanya turut berkongsi beberapa petua kejayaan beliau memperolehi 20 A dalam peperiksaan SPM, tahun lalu.

Tiada ulasan: