Sabtu, 11 Julai 2009

Dr M: Isu banglo Khir boleh jejas moral Umno, BN

MALAYSIA KINI


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kontroversi banglo mewah milik bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, boleh menjejaskan moral Umno dan BN.

Sehubungan itu beliau menggesa Dr Mohd Khir supaya menjelaskan punca pembiayaan rumah beliau yang dikatakan bernilai RM24 juta itu.

"Beliau perlu menjelaskan di mana beliau memperoleh wang... tak bolehlah kata RM3 juta. Saya pun ada rumah juga, rumah saya RM1 juta saya belanja di The Mines, rumah dia berapa kali besar daripada (rumah) saya," katanya.

Sebelum ini, ADUN DAP Sekincan, Ng Suee Lim membangkitkan isu pembelian dua lot tanah serta sebuah banglo mewah di Seksyen 7, Shah Alam oleh Dr Mohd Khir Toyo yang didakwanya berharga RM24 juta.

Media memetik Ng mendakwa jumlah itu tidak mungkin mampu dibiayai Dr Mohd Khir melalui pendapatannya selama lapan tahun menjadi menteri besar.

Bekas menteri besar Selangor itu, ketika diminta mengulas mengenainya, mengakui membeli dua lot tanah berserta sebuah banglo mewah terbabit tetapi dengan harga RM3.5 juta dan bukan RM24 juta seperti yang didakwa oleh Ng.

100 hari pentadbiran Najib

Dalam pada itu mantan perdana menteri keempat itu yang menyambut ulang tahun ke-84 kelahiran beliau hari ini sempat berkongsi harapan:

"Hajat saya ialah melihat Malaysia di mana rakyatnya berfikir bahawa mereka adalah warga Malaysia dan tidak dikaitkan dengan mana-mana tempat lain."

Sementara itu Bernama melaporkan, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas menjelang genap 100 hari pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, melahirkan rasa syukur kerana kepimpinan Najib semakin diterima oleh rakyat.

"Alhamdulillah kerana sokongan yang diberikan kepadanya semakin bertambah daripada 42 peratus sebelum mengangkat sumpah kepada 65 peratus (berdasarkan kepada kaji selidik Merdeka Centre iaitu sebuah pusat penyelidikan tempatan).

"Ini bermakna beliau berjaya memimpin negara dengan dasar-dasar yang diumumkan olehnya dari semasa ke semasa.

"Selepas ini dasar-dasar tersebut akan mendapat perhatian rakyat dari segi pelaksanaannya, saya harap ia akan dapat dipertahankan," katanya.

Tiada ulasan: