Selasa, 7 Julai 2009

Denda RM8,000 hina majikan di internet

MALAYSIA KINI


Seorang bekas pekerja bank didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah menyiarkan tajuk blog berunsur lucah dan menjatuhkan maruah bekas ketua jabatannya.

Hakim Zaki Abdul Wahab memerintahkan Seah Boon Khim, 26, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu, lapor Bernama.

Zaki menjatuhkan hukuman itu berdasarkan pengakuan salah dan rayuan Seah bahawa beliau telah berhenti kerja di Eon Bank Berhad dan memohon maaf atas kesalahan itu kerana pada masa kejadian beliau melakukannya dalam keadaan tidak sedar.

"Saya jatuhkan hukuman ini selepas mendengar pengakuan dan rayuan awak, bagaimanapun saya perlu mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan penyalahgunaan teknologi internet ini sehingga boleh menyebabkan pelbagai gangguan," hakim dipetik berkata.

Seah didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet iaitu http://www.xanga.com/hokongchan67 untuk menghantar dokumen yang jelek dan sumbang bertujuan menyakitkan hati Ho Kong Chan, ketua jabatan audit dalaman di Eon Bank.

Mengikut fakta kes, pada September 2007, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM menerima aduan daripada majikan tertuduh mengenai perkara tersebut.

Siasatan mendapati Seah secara sedar membuat dan memulakan
penghantaran komen-komen yang jelek dan sumbang melalui laman web itu dengan niat untuk menyakitkan hati majikannya.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau didakwa melakukan kesalahan itu di No 19 A-26-3 Level 6, UOA Centre 19, Jalan Pinang, Kuala Lumpur kira-kira 1.33 tengah hari pada 13 Ogos 2007.

Seah didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa SKMM Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek. Seah membayar denda itu.

Tiada ulasan: