Rabu, 29 Julai 2009

Cuepacs syor beri bonus menerusi Bajet 2010

BERITA HARIAN ONLINE


JOHOR BAHRU: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan supaya menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam, menerusi pengumuman Bajet 2010, Oktober depan.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata perbincangan mengenai bonus hanya akan diadakan pada mesyuarat tertinggi kongres itu minggu depan sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

"Pemberian bonus ini dibincangkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Khamis lalu. Kita setuju sekiranya pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) tidak dapat dinaikkan dalam keadaan ekonomi ketika ini, namun diharap musim perayaan nanti, kira-kira 1.2 juta penjawat awam negara ini dapat menikmati ‘duit raya’," katanya.

Omar berkata demikian pada majlis perasmian mesyuarat agung dwi tahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak panggilan telefon dan kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) dari penjawat awam yang ingin mendapatkan perkembangan mengenai pemberian bonus selain, perkara lain yang dibangkitkan Cuepacs.

Mengenai kadar pemberian bonus, beliau berkata, ia terserah kepada kerajaan kerana Cuepacs memahami keadaan kerajaan yang berdepan dengan situasi ekonomi tidak menentu.

Ketika ini, bonus penjawat awam diberi mengikut budi bicara kerajaan berdasarkan kemampuannya dan pada waktu baik penjawat awam menikmati bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, pihaknya menyambut baik enam teras Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI), yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin, terutama usaha memperkasa prasarana luar bandar.

Beliau berkata, Cuepacs mendapati banyak kemudahan awam seluruh daerah seperti jalan raya dan pondok polis perlu dibaik pulih serta ditingkatkan supaya matlamat menjadikan negara maju dapat dicapai.

Katanya, satu pertemuan antara Cuepacs dan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut diadakan kelmarin bagi menghindar salah guna kuasa dan rasuah di kalangan penjawat awam.

Tiada ulasan: