Selasa, 28 Julai 2009

Cubaan seludup 20 warga asing ke Australia gagal

MYMETRO


PELABUHAN KLANG: Usaha menyeludup 20 warga asing termasuk lima wanita dan empat kanak-kanak ke Indonesia sebelum diseludup ke Australia gagal selepas bot membawa keluar mereka dikesan Pasukan Gerakan Marin (PGM) berhampiran perairan Pulau Pintu Gedung di sini, kelmarin.

Sebaik dikesan, tekong dan awak-awak bot terbabit dipercayai warga Indonesia terjun laut dan berenang ke kawasan hutan bakau untuk melarikan diri.

Pegawai Pemerintah PGM Wilayah 1 Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Marzuki Ismail, berkata bot yang dinaiki warga asing terbabit dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan, kira-kira jam 7.15 pagi.

“Sebaik dihampiri, polis menemui 20 warga asing dari Afghanistan, Pakistan, Iraq dan Indonesia bersembunyi dipercayai cuba diseludup.

“Semua yang ditahan adalah tujuh warga Afghanistan, Iraq (8), Pakistan (4) dan Indonesia (1) termasuk lima wanita dan empat kanak-kanak berusia tiga hingga 45 tahun,” katanya.

Siasatan awal mendapati, semua mereka tiba ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dua minggu lalu.

Difahamkan, mereka bersembunyi tiga hari di hutan bakau di Pulau Pintu Gedung sementara menunggu bot mengambil mereka untuk dihantar ke sebuah bot induk lain.

Bot itu akan meneruskan perjalanan ke Tanjung Balai seterusnya ke Dili, Timor Leste sebelum warga Afghanistan, Iraq dan Pakistan itu menyusup masuk secara haram ke Australia, manakala warga Indonesia itu pulang ke kampung halaman.

Marzuki berkata, ini kejayaan keempat tahun ini mematahkan cubaan menyeludup keluar menggunakan perairan maritim negara.

Tiada ulasan: