Rabu, 8 Julai 2009

Cek RM79,200 hilang selepas masuk mesin

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seorang warga emas resah dan tertekan cek bernilai RM79,200 yang dimasukkan ke akaunnya melalui mesin deposit cek di sebuah bank di Petaling Jaya pada 26 Jun lalu belum dimasukkan ke akaun simpanannya, walaupun selepas 10 hari.

Kanan @ Subramaniam Sandran, 69, mendakwa beliau memperoleh cek itu selepas menjual rumah miliknya berharga RM88,000 di Dengkil, Selangor, baru-baru ini.

"Saya menjual rumah itu pada harga RM88,000 dan pembeli membayar RM8,000 sebagai deposit secara tunai, manakala bakinya dalam dua cek, satu bernilai RM800 dan sekeping lagi, RM79,200.

"Pada 26 Jun lalu, jam 1 tengah hari saya bersama menantu lelaki saya, S Ramasingam pergi ke bank itu dan memasukkan cek berkenaan melalui mesin deposit cek.

"Selepas empat hari, saya memeriksa akaun simpanan dan mendapati cek RM800 sudah dimasukkan ke akaun, manakala sekeping lagi bernilai RM79,200 tidak dicatatkan. Saya tak faham bagaimana cek itu boleh 'hilang' dan membuat aduan kepada bank, tetapi tidak mendapat jawapan positif.

"Pagi ini (semalam) saya menghubungi bank sekali lagi, dan mereka masih memberi alasan sedang berusaha untuk mengesan cek berkenaan. Saya mempunyai semua bukti termasuk resit selepas memasukkan cek itu ke dalam mesin deposit cek," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau turut membuat aduan rasmi berhubung perkara itu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA), semalam dan menyerahkan aduannya kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah.

Kanan berkata, beliau juga sudah membuat laporan polis berhubung 'kehilangan' di Balai Polis Petaling Jaya dan berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalahnya.

Sementara itu, Murugiah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak bank di pejabatnya di Putrajaya, hari ini, bagi mendapat penjelasan.

Tiada ulasan: