Ahad, 26 Julai 2009

Bukan kali pertama - Mawi

UTUSAN ONLINE

JOHOR BAHRU - Kejadian pecah rumah ke atas rumah penyanyi terkenal Asmawi Ani, 28, yang berlaku hari ini di Felda Taib Andak di sini, bukan kali pertama.

Mawi yang kini berada di Sabah mempromosi filem Jin Notti berkata, kali pertama rumahnya dimasuki pencuri sebelum dia menyertai program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3).

Katanya, ketika itu pencuri yang memasuki rumahnya menerusi pintu hadapan tidak sempat mengambil apa-apa kerana dia yang kebetulan baru pulang daripada bermain badminton menyedari ada tetamu yang tidak diundang.

"Kali kedua pencuri masuk rumah selepas AF3 dan pencuri itu sempat mengambil jam tangan arwah ayah (Ani Ahmad).

"Kali ini paling teruk sebab pencuri-pencuri yang masuk melalui pintu belakang itu membawa parang dan meragut rantai leher mak (Ramlah Sarlan), adik (Asmidah) dan kakak (Rashidah) ketika mereka sedang tidur," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Ketika kejadian, selain ibu, kakak dan adik, turut berada di dalam rumah adalah abang ipar dan lima anak saudara Mawi.

Jelas Mawi, dia mendapat khabar sedih itu kira-kira pukul 4.15 pagi tadi daripada adiknya, Asmidah, 22.

Menurutnya, bagaimanapun dia tidak sempat untuk pulang segera ke kampung kerana terikat dengan jadual promosi.

Mawi yang ditemani isteri, Nora'Asikin Rahmat, 30, atau Ekin hanya akan kembali ke Kuala Lumpur esok dan seterusnya pulang ke kampung untuk bertemu ahli keluarga.

"Sebelum ini rumah di kampung memang dipasang alat penggera tapi mungkin sudah rosak. Apa pun saya tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat," katanya.

Pada waktu yang sama Mawi mengucapkan terima kasih kepada polis kerana bertindak pantas dalam menangani kejadian tersebut.

Tiada ulasan: