Ahad, 12 Julai 2009

Bos along termasuk Datuk ditahan

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim


KUALA LUMPUR: Beberapa ‘kepala’ along termasuk bergelar Datuk ditahan, manakala beberapa lagi disiasat dalam operasi besar-besaran dilancarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi melumpuhkan kegiatan mereka di negara ini serta rangkaian peringkat antarabangsa.

Polis menjalankan siasatan rapi terhadap semua lelaki itu termasuk perniagaan mereka yang digunakan bagi melindungi operasi haram itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tangkapan terhadap beberapa ‘kepala’ along itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada seorang daripada ditahan itu bergelar Datuk kerana tidak mahu menjejaskan operasi.

“Memang operasi kita jalankan besar-besaran seperti saya umum untuk memerangi along habis-habisan, namun butiran (tangkapan dan operasi) akan saya umumkan tidak lama lagi.

“Saya sudah kata kita akan ambil tindakan. Amaran saya kepada along, jangan sesekali-kali sentuh keluarga dan rakan peminjam yang tidak berdosa.

“Jika ada pihak berkuasa terbabit (kegiatan along), sila maklumkan kepada saya secara sulit, tidak perlu memberi nama pun dan saya berjanji menyiasat tanpa pilih bulu,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) ketika ditanya mengenai penahanan berkenaan.

Hishammuddin berkata, siasatan menunjukkan kebanyakan meminjam along kerana judi.

Beliau sebelum ini menyifatkan along lebih teruk daripada binatang dan bertekad melancarkan perang habis-habisan terhadap kegiatan itu berikutan pendedahan kekejaman along mengurung dan merantai tiga peminjam yang gagal membayar pinjaman di Taman Perindustrian, Sri Kembangan, dekat sini.

Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, mengesahkan polis menyiasat enam lelaki termasuk seorang bergelar Datuk dan mendapat kerjasama polis negara jiran bagi menghapuskan kegiatan semua lelaki berusia antara 30 hingga 56 tahun itu yang disifatkan jerung besar.

Beliau yang mengetuai pasukan petugas memerangi along berkata, siasatan dibuat ke atas individu yang sudah lama terbabit dalam kegiatan itu dan masih berada dalam negara ini adalah sebahagian usaha polis mengenal pasti, mengesan dan menangkap kumpulan along serta rangkaian mereka di luar negara.

“Kita berhubung dengan negara jiran untuk menghapuskan kegiatan ini sehingga ke akar umbi.

“Saya rasa dalam tempoh terdekat kita dapat melumpuhkan banyak along bukan saja yang dikategorikan pada peringkat bawah tetapi juga memburu yang besar,” katanya selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Konvokesyen Inspektor Percubaan Siri 2/2008 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini.

Katanya, berdasarkan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pihaknya turut berurusan dengan pihak berkuasa tempatan dan kementerian berkaitan untuk memerangi kegiatan itu secara bersepadu.

“Kita akan tumpu perhatian melihat jenis perniagaan mereka kerana along bijak mengaburi mata kita dengan perniagaan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: