Khamis, 2 Julai 2009

'Biarlah saya mengalah'

Oleh Farihad Shalla Mahmud


NIAT awalnya hanyalah sekadar untuk menjelaskan punca kelewatan albumnya berada di pasaran namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Disebabkan keberaniannya menceritakan kisah di sebalik kelewatan itu, tanpa di sangka ada hati yang terluka sehingga membawa kepada ‘perang mulut’ membabitkan dua figura terkenal tanah air iaitu Datuk Sharifah Aini dan komposer S Atan.

Dalam temu bualnya bersama media sebelum ini, penyanyi tersohor kelahiran Johor Bahru ini mendakwa S Atan merakam album terbarunya menggunakan program komputer dan tidak secara langsung seperti yang dibincangkan awal walhal komposer berkenaan sudah pun menerima bayaran sebanyak RM83,000 sebagai upah untuk menerbitkan album ke-99 penyanyi itu.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan S Atan minggu lalu dan mendedahkan sebahagian besar wang itu digunakan untuk membiayai kos pemain muzik dan studio. Kesal dengan dakwaan penyanyi yang mendapat jolokan Biduanita Negara itu yang disifatkannya sebagai fitnah dan memalukan dirinya, dia menerusi peguamnya Mohd Effendy Rosley memberi tempoh 14 hari kepada Sharifah Aini atau lebih akrab disapa Kak Pah memohon maaf secara terbuka jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Memang sukar untuk bertemu jawapan siapa benar, siapa salah andai keadaan seperti ini berterusan. Justeru, tidak mahu kontroversi seperti ini berlanjutan, dengan penuh rendah hati, penyanyi yang terkenal dengan lagu Seri Dewi Malam ini mengambil keputusan untuk menamatkan segera kontroversi ini dengan cara penuh diplomasi.

”Biarlah saya mengalah dalam hal ini, namun mengalah bukan bererti saya kalah. Cuma saya sudah letih berdepan dengan kontroversi seperti ini. Saya hanya mahukan ketenangan dalam meniti kehidupan yang fana ini,” ujar Sharifah Aini ketika ditemui dalam sidang media khas di kediamannya di Petaling Jaya, petang kelmarin.

Hip: Apa tujuan sidang media ini diadakan?

Sharifah Aini: Sejak kebelakangan ini saya lihat kontroversi membabitkan antara saya dan S Atan semakin mendapat liputan meluas dan menjadi semakin sensasi. Saya tidak merasakan situasi seperti itu sebagai sesuatu yang sihat dan menjejaskan reputasi masing-masing. Untuk itu, saya mahu konflik antara kami segera ditamatkan. Cukuplah, saya sudah letih dengan kenyataan yang keluar di media. Hidup ini terlalu singkat untuk kita sesakkan dengan hal yang boleh memeningkan kepala dan membuatkan saya tertekan. Saya mahu menjalani kehidupan ini dengan lebih tenang dan sebab itulah saya mengambil keputusan untuk menyelesaikan konflik ini dengan menghalalkan dunia dan akhirat wang RM83,000 yang saya berikan padanya dua tahun dulu untuk pembikinan album terbaru saya itu.

Hip: Sukarkah untuk Kak Pah buat keputusan ini?

Sharifah Aini: Memang sukar sehinggakan saya terpaksa membuat sembahyang Istikharah untuk mencari petunjuk bagi menamatkan semua kontroversi ini. Selepas berfikir dan menilai kesan dan akibatnya, barulah saya mengambil keputusan untuk menyelesaikannya dengan cara seperti ini. Saya tidak akan menuntut sebarang ganti rugi atau meminta dia memulangkan kembali wang sebanyak RM83,000 itu. Sebaliknya saya menghalalkannya dunia dan akhirat. Cuma selepas ini, saya tidak mahu diri ini dikaitkan dengannya. Bagaimanapun, itu bukanlah bermaksud saya membenci, menaruh dendam padanya atau mendoakan yang tidak baik buatnya, cuma saya tidak mahu lagi dikaitkan dengannya. Memang sedih dengan apa yang terjadi dan saya sebenarnya tidak menyangka perkara seperti ini berlaku dalam persahabatan kami.

Hip: Apakah keputusan yang dibuat ini ada kaitannya dengan tindakan undang-undang yang bakal diambil S Atan kerana dia mendakwa dirinya difitnah?

Sharifah Aini: Apa yang saya buat ini semuanya atas dasar kehendak saya sendiri dan bukannya kerana gusar dengan tindakan undang-undang yang dia ingin kenakan pada saya. Seperti yang saya katakan sebelum ini, hidup ini terlalu singkat untuk kita harungi masalah seperti ini. Walaupun terbit juga rasa terkilan kerana ia membabitkan sejumlah wang yang agak besar namun saya tak kisah kerana saya percaya setiap yang berlaku ada rahmatnya dan mana tahu selepas ini Allah akan berikan rezeki yang lebih buat saya.

Hip: S Atan ada memberikan tempoh selama 14 hari untuk Kak Pah memohon maaf secara terbuka, apakah perkara itu akan berlaku?

Sharifah Aini: Saya tidak akan melakukan perkara itu. Untuk apa saya minta maaf kerana dalam situasi ini, saya adalah mangsa. Lagipun, saya tidak menerima sebarang surat dari peguamnya yang menyuruh saya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka. Beginilah, saya anggap situasi yang berlaku hari ini adalah seperti berikut, S Atan meminta saya wang RM5 tetapi saya menyerahkan keseluruhan rumah ini untuknya. Itu sudah cukup besar untuknya berbanding permohonan maaf yang dituntut itu.

Hip: Tapi bagaimana kalau S Atan tetap dengan pendiriannya untuk mengambil tindakan undang-undang?

Sharifah Aini: Itu terpulang padanya, biarlah masyarakat sendiri menilai. Saya sudah melakukan apa yang sepatutnya saya lakukan. Namun harus diingat, apa yang saya buat ini tidak bermakna saya mengaku kalah. Saya juga ingin tegaskan bahawa ini adalah kenyataan terakhir saya berhubung kontroversi ini kerana kalau asyik berbalas kenyataan, sampai bila-bila pun tak akan selesai.

Hip: Ada yang menyifatkan apa yang berlaku ini adalah permainan Kak Pah sendiri. Kak Pah yang memulakan dan Kak Pah sendiri yang mengakhirinya. Komen sikit?

Sharifah Aini: Saya tak anggap ini sebagai satu permainan. Andai benar ini satu permainan, lebih baik saya teruskan saja kontroversi ini sehingga ke mahkamah. Kes ini timbul pun apabila media yang bertanyakan pada saya perkembangan album terbaru. Jadi apabila terlalu kerap ditanyakan, jadi saya terpaksa bercerita punca berlakunya kelewatan itu. Ya, saya akui ada juga kenyataan yang saya keluarkan mengguris hati S Atan. Tapi adalah menjadi prinsip saya untuk berkata benar. Saya adalah seorang yang spontan dan kalau saya rasakan benda itu tidak betul, saya akan berterusan. Lagipun, mana mungkin urusan mahkamah boleh dibuat main-main. Ingat lagi kes saya dengan seorang wartawan dulu? Sudah masuk tahun keempat dan tidak juga selesai dan akhirnya kes itu gugur begitu saja. Saya sudah masak benar dengan hal ehwal naik turun mahkamah ini dan saya tahu kesan dan akibatnya. Disebabkan tidak mahu mengulangi pengalaman yang sama maka saya mahu kontroversi ini tamat dengan cara seperti ini. Saya ingin tutup buku lama buka fasa baru dalam kehidupan saya tanpa gangguan cerita sensasi seperti ini.

Hip: Apa akan berlaku kepada projek album yang terbengkalai itu?

Sharifah Aini: Saya akan tetap meneruskan projek pembikinan album ke -99 saya itu. Bagaimanapun siapa komposer penggantinya akan difikirkan kemudian sebaik saja saya selesai mengadakan konsert di Dewan Perdana Felda, 17 Julai depan. Hanya selepas itu nanti barulah saya akan mencari komposer berkenaan. Kali ini, saya akan lebih berhati-hati. Mengenai master tape yang S Atan berikan itu saya akan simpan, mungkin saya akan perbaiki untuk dijadikan album instrumental.

Tiada ulasan: