Khamis, 23 Julai 2009

Belum ada keputusan naik tarif elektrik

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan menaikkan tarif elektrik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, kajian mendalam perlu dibuat sebelum cadangan itu dimuktamadkan.

Katanya, peningkatan harga gas menyebabkan Petronas terpaksa menanggung subsidi dalam jumlah yang besar setiap tahun.

''Harga gas semakin meningkat, dan Petronas perlu keluarkan RM6.4 bilion setiap tahun, duit itu diberi kepada kerajaan untuk membiayai projek dan pembangunan rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada Kabinet yang bermesyuarat hari ini membuat keputusan berkaitan cadangan kadar baru tarif elektrik.

Ditanya kemungkinan kenaikan tarif elektrik akan diumumkan bulan depan, Perdana Menteri berkata: ''Kita belum tahu, jangan buat spekulasi."

Minggu lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, Kabinet dijangka membincangkan cadangan tersebut minggu ini dan jika diluluskan ia akan dikuatkuasakan bulan depan.

Fah Kui dipetik sebagai berkata, kertas cadangan mengenai perkara itu akan dibentangkan pada mesyuarat berkenaan untuk dibincangkan.

Kelulusan kenaikan itu dianggap perlu memandangkan syarikat utiliti Tenaga Nasional Bhd. (TNB) tidak mampu lagi menampung kos kenaikan bahan api khususnya minyak.

Tiada ulasan: