Selasa, 14 Julai 2009

Belia boleh pilih sendiri jadi anggota MPBN

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan pemilihan secara terbuka bagi membolehkan golongan belia sendiri memilih anggota Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN).

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu bertujuan memastikan mereka yang dilantik itu benar-benar mampu memberi sumbangan kepada pembangunan belia di negara ini serta memenuhi keperluan mereka.

''Kalau sebelum ini, menteri akan melantik orang yang beliau kenal dan serasi sahaja tetapi kali ini, kita mahu ia datang daripada kalangan belia sendiri.

''Saya percaya di kalangan orang ramai khususnya belia, sudah tentu ada banyak nama atau tokoh yang mereka fikirkan boleh memberi input kepada perancangan dasar dan program yang membabitkan belia," ujarnya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan promosi pelantikan ahli MPBN (lantikan menteri) dan logo 1Belia 1Malaysia di sini hari ini.

MPBN yang ditubuh di bawah Seksyen 36 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 berfungsi sebagai badan perunding pembangunan belia.

Pencalonan itu boleh dibuat menerusi laman web www.1belia1malaysia.com mulai hari ini dan pengumuman senarai ahli akan dibuat pertengahan bulan depan.

Ahmad Shabery memberitahu, beliau percaya kaedah yang pertama kali dilaksanakan itu akan membawa idea dan pendekatan baru dalam menggerakkan belia dengan lebih berkesan.

''Mungkin kami tidak kenal dengan tokoh yang dicadangkan tetapi ia mungkin akan membawa idea-idea baru yang tidak terfikir oleh kami.

''Walaupun ia perkara baru tetapi zaman kerajaan tahu serba-serbi sudah berakhir," katanya

Tiada ulasan: