Rabu, 8 Julai 2009

Bekas komando menang saman terhadap Kerajaan Malaysia

Zaili Muhammad


MELAKA - Perjuangan seorang bekas komando, Lans Koperal, Arman Amin selama hampir 5 tahun akhirnya mendatangkan kejayaan apabila Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Dato' Wira Mokhtaruddin Baki membenarkan tuntutannya ke atas pihak defendan dan mengarahkan supaya dikembalikan segala hak dan keistimewaan yang dimilikinya sebelum ini.

Arman sebagai plaintif telah diwakili peguam, Lt Kol (B) Syed Ismail Syed Omar telah menamakan Kolonel Abd Samad Yaakob sebagai defendan pertama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai defendan kedua dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.

Menurut Arman, bahawa beliau bersama tiga rakannya telah ditahan dan 'Bere Hijau Komando' mereka telah dilucutkan beserta pemotongan elaun komando kerana didakwa membantu kempen PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 11 pada 2004, namun tiga rakannya itu kemudiannya mengaku bersalah.

"Pelucutan itu dibuat tanpa melalui prosedur yang sebenarnya dan dilakukan walaupun Mahkamah Tentera belum membuat keputusan, ini membuatkan saya memfailkan saman pada Februari 2004 tetapi apabila Mahkamah Tentera memutuskan tak bersalah segala hak saya itu masih tak dikembalikan juga.

"Alhamdulillah kini saya bersyukur kerana hak dan maruah saya telah dikembalikan, saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu terutamanya sahabat saya Zabidin Sulaiman yang banyak membantu sokongan moral dan sebagainya," kata beliau.

Beliau menuntut ganti rugi atas fitnah terhadapnya berikutan penarikan balik Beret Hijau itu, kehilangan elaun serta penyalahgunaan kuasa di pihak defendan.

Plaintif telah menuntut satu deklarasi bahawa tindakan defendan pertama melucutkan Beret Hijau komandonya adalah salah, tidak sah, berlawanan dengan undang-undang dan peraturan tentera, salah guna kuasa serta tidak adil.

Selain itu, plaintif turut memohon satu deklarasi bahawa tindakan defendan kedua dan ketiga menyekat, memotong, menamatkan dan atau memberhentikan bayaran Insentif Pasukan Khas Komando kepada plaintif mulai 30 April 2004 adalah salah dan tidak sah.

Plaintif turut memohon satu perintah bahawa plaintif adalah layak dan masih menyandang Beret Hijau serta menikmati semua faedah, elaun dan bayaran Insentif Pasukan Khas Komando yang diberikan oleh defendan ketiga.

Plaintif turut mengemukakan tuntutan supaya defendan kedua dan ketiga membayar balik semua potongan bayaran Insentif Pasukan Khas Komando yang dibuat secara salah mulai 30 April 2004 dan seterusnya defendan ketiga dilarang daripada memotong, menamatkan dan atau memberhentikan pembayaran semula faedah, elaun dan bayaran insentif.

Pada masa sama, plaintif turut menuntut ganti rugi am yang ditaksirkan oleh mahkamah, faedah pada kadar lapan peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi am mulai tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian sepenuhnya, kos serta apa-apa relif yang didapati adil dan suaimanfaat oleh mahkamah.

Mahkamah menetapkan pada 23 Oktober 2009 depan sebagai tarikh untuk menentukan jumlah ganti rugi yang harus dibayar kepada Arman di mana peguamnya menyatakan bahawa tuntutan anak guamnya sebanyak RM250,000. - mks._

Tiada ulasan: