Isnin, 13 Julai 2009

Banyak kes dera tidak dilapor

BERNAMA


PETALING JAYA: Hanya satu dalam 10 kes penderaan kanak-kanak dan pembantu rumah dilaporkan kerana sikap acuh tak acuh masyarakat dan juga kerenah birokrasi, menurut pakar.

Ketika mendedahkan perkara itu, Ketua Jabatan Psikiatri Universiti Malaya, Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata kajian menunjukkan nadi sistem keluarga masyarakat moden ialah lebih mengutamakan ‘peribadi’, menghalang mereka daripada bergaul dengan jiran dan bertanya jika mereka mengesyaki berlaku penderaan.

"Malah, jika mereka pasti penderaan berlaku, mereka keberatan membantu kerana bimbang dikatakan cuba mencampuri urusan peribadi jiran mereka," katanya.

Selain itu, katanya agensi relevan yang sepatutnya memantau perbuatan penderaan terikat dengan kerenah birokrasi yang secara tidak langsung menghalang orang ramai daripada melaporkan kes seumpama itu.

Sebagai contoh, katanya didapati polis terlalu ‘taksub’ dengan merekodkan keterangan dan laporan dan tidak cuba menyelesaikan keperluan dari segi emosi mangsa.

"Ini tidak membantu keadaan kerana orang yang perlukan bantuan patut diberikan sokongan dan pertimbangan sewajarnya daripada disoal untuk tempoh yang lama bagi tujuan merekodkan keterangan," katanya kepada Bernama.

Mengenai kes dera yang semakin meningkat, katanya wujud keperluan mendesak untuk melatih kakitangan yang mencukupi untuk mengendalikan kes seumpama itu.

Bagi kes penderaan kanak-kanak misalnya, beliau berkata adalah penting bagi kerajaan melatih guru untuk mengenal pasti kes seumpama itu di kalangan pelajar dan membantu mereka dengan mengurangkan kerenah birokrasi.

"Guru boleh menjadi mata dan telinga untuk mengenal pasti kes seumpama itu lebih awal supaya tindakan boleh diambil sebelum terlambat.

“Bagi kes penderaan pembantu rumah, perlu diwujudkan sistem yang pembantu rumah itu sendiri boleh mendapatkan bantuan secepat mungkin tanpa perlu melalui prosedur rumit, kata Dr Mohamad Hussain.

Cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk membekalkan nombor telefon dan alamat pegawai tenaga kerja kepada pembantu rumah adalah satu daripada inisiatif itu.

Mengenai begitu banyak pusat jagaan warga tua dan anak yatim yang diwujudkan sekarang, Dr Mohamad Hussain berkata ‘adalah malang kerana rumah-rumah ini tidak diuruskan oleh kakitangan berkelayakan.’

Katanya Kementerian Kesihatan sudah meminta input dari pelbagai pihak dalam merumuskan ‘Peraturan Kesihatan Mental’ yang termasuk apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila menubuhkan pusat jagaan warga tua dan anak yatim.

"Bagaimanapun, amat malang kerana selepas hampir lapan tahun sejak peraturan itu disiapkan, ia masih belum dilaksanakan oleh kementerian," kata Dr Mohamad Hussain yang juga seorang daripada pakar yang menganggotai jawatankuasa yang mendraf peraturan itu.

Beliau menggesa kementerian menyegerakan pelaksanaan peraturan itu bagi mengawal operasi pusat jagaan anak yatim dan warga tuga yang kini semakin popular terutama di kawasan bandar.

Tiada ulasan: