Ahad, 26 Julai 2009

Bakal jemaah haji disuntik vaksin flu

Oleh Hafizah Iszahanid, Hanneeyzah Bariah Baharin dan M Hifzuddin Ikhsan


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mencadangkan kepada Kabinet untuk memberi vaksin selesema bermusim kepada jemaah yang akan menunaikan haji tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata walaupun arahan daripada Kerajaan Arab Saudi meminta semua jemaah mendapat suntikan vaksin Influenza A (H1N1), kerana vaksin itu hanya ada di pasaran hujung tahun ini, memberi suntikan selesema bermusim dijangka pilihan terbaik.

“Walaupun vaksin selesema itu tidak membantu menangani H1N1, ia membantu mengelak selesema jenis lain,” katanya.

Liow berkata, kecekapan Malaysia dalam memberikan vaksin selesema bermusim kepada kakitangan perubatan dan pertahanan sebelum wabak H1N1 melanda, mendapat perhatian dan pujian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kelmarin, mesyuarat Menteri Kesihatan Negara Arab melarang orang tua, kanak-kanak dan pesakit kronik menunaikan ibadat haji tahun ini bagi menghalang penyebaran H1N1.

Bagaimanapun, Tabung Haji dan Jabatan Perdana Menteri belum mendapat arahan rasmi berkaitan larangan itu.

Sementara itu, Liow menggesa orang ramai termasuk institusi pendidikan dan syarikat bekerjasama dengan kementerian dengan melaporkan kejadian penyakit seakan selesema (influenza like illness atau ILI).

“ILI memiliki simptom sama dengan H1N1, selesema, batuk dan sakit tekak. Mereka yang mendapat gejala ini dengan teruk dan berisiko diminta mendapatkan rawatan,” katanya.

Katanya, mereka yang mempunyai tanda ILI dinasihat mendapatkan rawatan di klinik, manakala kes bergejala ringan boleh berehat di rumah. Mereka juga digalak memakai topeng muka dan jika gejala bertambah teruk, dapatkan pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun ditutup lapan hari bermula semalam berikutan empat pelajarnya disahkan positif H1N1.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata sebelum itu, 20 pelajar PSMZA dijangkiti demam selesema ringan ILI.

Di KUCHING, lima sekolah termasuk sebuah sekolah rendah di negeri ini yang berisiko, ditutup selepas ada pelajar menunjukkan simptom H1N1.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Dr Julaihi Bujang, berkata sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako, Kuching; SMK Agama Kuching; SMK Benakit, Limbang; SMK Bakong, Miri dan Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Teraoh, Samarahan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Dr Julaihi Bujang, berkata sekolah berkenaan kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak sudah mengunjungi sekolah berkenaan.

Di MELAKA, Jabatan Kesihatan Negeri mengarahkan tiga lagi institusi pendidikan di negeri ini ditutup selama seminggu bermula semalam akibat H1N1 membabitkan Institut Latihan Perindustrian, Pusat Latihan Kemas dan Sekolah Menengah Teknik

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ghazali Othman, berkata semua institusi itu terletak di Bukit Katil, dekat sini, diarahkan tutup sehingga hujung bulan ini.

Tiada ulasan: