Selasa, 7 Julai 2009

Azizi dapat tempurung kepala

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN


BUKIT MERTAJAM - Selepas empat bulan hidup tanpa tempurung kepala, Azizi Khalib hari ini selamat menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP) tetapi harapan untuk melihat ingatan remaja itu pulih sangat tipis.

Pembedahan kira-kira dua jam bagi memasang semula tempurung kepala Azizi dijalankan sepasukan doktor di hospital itu mulai pukul 8.45 pagi ini.

Azizi, 17, kini ditempatkan di wad 10 HPP dan doktor memasang tiub di kepalanya bagi membolehkan darah berlebihan kesan dari pembedahan itu, dapat dikeluarkan.

Ibu Azizi, Roslina Che Ros, 39, yang dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, pihak hospital tidak dapat memberi jaminan ingatan Azizi yang hilang akibat kemalangan Mac lalu dapat dipulihkan walaupun sudah menjalani pembedahan.

"Doktor kata tak berani beri jaminan untuk Azizi kembali bercakap dan berjalan selepas menjalani pembedahan kerana semuanya bergantung kepada kekuatan Azizi sendiri.

"Doktor juga beritahu, kalau boleh sembuh sekali pun, ia mungkin ambil masa yang sangat lama, tapi saya tidak mahu putus asa dan pujuk diri terus bersabar," katanya sebak.

Roslina menambah: "Apa pun yang berlaku, saya amat berharap menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti, saya dapat dengar dia bercakap walaupun sekadar sebut 'emak'".

Utusan Malaysia bulan lalu menyiarkan kisah Azizi yang cedera parah setelah motosikal yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Teh, di sini 3 Mac lalu.

Ekoran kemalangan itu, Azizi yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubok mengalami pendarahan otak dan bengkak seterusnya menyebabkan tempurung kepalanya terpaksa dibuang.

Azizi juga tidak dapat mengingati apa-apa dan tidak mampu makan dan minum tanpa bantuan orang lain.

Dalam pada itu, Roslina bagaimanapun berkata, keluarganya bersyukur kerana pembedahan memasang semula tempurung kepala Azizi berjalan lancar.

"Secara fizikalnya, Azizi kini sudah nampak seperti manusia yang normal, sudah tiada lagi lekuk di atas kepalanya.

"Tapi dia masih tidak boleh bersuara dan keadaannya masih lemah, tapi kami sekeluarga bersyukur kerana semuanya selamat dan pembedahan berjalan lancar," katanya.

Roslina turut berterima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir yang memberi sumbangan bagi membolehkan pembedahan tersebut dilakukan.

Tiada ulasan: