Sabtu, 4 Julai 2009

Artifak ditemui dalam peti besi akan dipamer

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 barang peribadi milik Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ditemui dalam peti besi milik bekas Perdana Menteri pertama itu kelmarin akan dipamerkan di Memorial Tunku Abdul Rahman dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf, berkata ketika ini Arkib Negara dalam proses menyenaraikan segala barang ditemui itu, di samping mendapatkan nasihat pakar bagi mengetahui nilai artifak terbabit.

“Barang yang ditemui dalam peti besi ini akan dipamerkan di Memorial Tunku Abdul Rahman. Saya difahamkan terdapat antara enam hingga tujuh gunting emas selain tiga hingga empat kunci emas. Bagaimanapun, Arkib Negara menyenaraikan artifak itu dan kita juga akan mendapatkan bantuan pakar bagi menilainya.

“Artifak ini adalah pemberian negara luar kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman. Sebagai contoh, kunci emas diterima dari Jepun dan Amerika Syarikat kerana ia tertera di belakangnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Ke-2 Sembang Kopi di Laman Seni Wisma TV Angkasapuri, di sini, semalam.

Peti besi itu secara rasminya dibuka Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim kelmarin.

Di antara kandungan peti besi seberat 300 kilogram itu ialah lapan kotak yang antara lain mengandungi barang seperti jam tangan, dua syiling emas iaitu satu daripadanya adalah hadiah daripada Kerajaan Taiwan dan satu lagi tertera wajah Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah di samping kancing pergelangan tangan baju atau kafling.

Turut ditemui, dua cenderahati berbentuk kunci emas dari negara luar, barang perhiasan Persatuan Menembak yang dibuat pada 1970 dan sekotak barangan yang mengandungi kira-kira 23 memorabilla emas seperti pen dan gunting.

Mengenai majlis itu, Kamaruddin berkata, kementerian akan memperluaskan program berkenaan ke peringkat negeri dan daerah bagi membolehkan orang ramai mengetahui dasar kerajaan dan isu semasa.

“Melalui program Sembang Kopi ini masyarakat dapat mengetahui isu semasa dan dasar kerajaan dan sesi penerangan akan dilaksanakan oleh pegawai penerangan peringkat daerah dan Jabatan Hal Ehwal Khas,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Malaysia akan terus menghantar 22 peserta yang dipilih untuk menyertai pertandingan di Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) yang dijadualkan berlangsung di Hollywood, California, Amerika Syarikat pada 11 Julai ini berikutan wabak selsema babi yang semakin teruk di negara itu, Kamaruddin berkata, usaha itu tetap akan diteruskan.

“Setakat ini kami tidak menerima sebarang arahan daripada pihak penganjur mengatakan program WCOPA ditangguh atau dibatalkan disebabkan penyakit itu. Jadi kami tetap akan menghantar rombongan itu ke sana,” katanya.

Tiada ulasan: