Selasa, 21 Julai 2009

Arab Saudi Belum Keluar Arahan Kepada TH Berhubung H1N1

BERNAMA


KUCHING -- Kerajaan Arab Saudi belum lagi mengeluarkan sebarang arahan terbaru kepada Tabung Haji (TH) berhubung langkah-langkah pencegahan awal penyakit Influenza A (H1N1) ketika musim haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata jemaah yang akan mengerjakan ibadah haji hujung tahun ini bagaimanapun akan dipastikan sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun tempoh masa mengerjakan ibadah tersebut masih panjang.

"Kita (TH) bergantung kepada pihak Arab Saudi kerana mereka yang akan membuat keputusan (jumlah kouta jemaah) dan setakat ini tiada sebarang arahan terbaru," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Multaqa Penyelia & Guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sini Selasa.

Beliau berkata pihak Arab Saudi tahun ini bagaimanapun telah mengambil beberapa langkah terbaru untuk memastikan jemaah sentiasa berada dalam keadaan selesa dan selamat ketika mengerjakan ibadah haji.

Katanya TH difahamkan pendekatan terbaru yang dilakukan oleh pihak Arab Saudi ialah seperti memberi ketetapan jumlah jemaah dalam sesebuah bilik berdasarkan kepada saiz bilik, jumlah katil dan kapasiti penggunaan air.

"Dakwaan mengatakan haji ataupun umrah mungkin terpaksa ditangguh jika wabak penyakit (H1N1) terus berlaku hanya pandangan secara umum oleh pihak tertentu," katanya.

Setakat ini kuota jemaah Malaysia yang telah ditetapkan oleh pihak Arab Saudi masih lagi kekal sebanyak 26,000 jemaah setahun.

Sementara itu, Jamil berkata TH terus mendapat pengiktirafan dari beberapa negara Islam lain di dunia seperti Bosnia yang mahu menjadikan TH sebagai model untuk menguruskan jemaah haji di negara tersebut.

Beliau berkata Bosnia juga mahu menggunakan nama "Tabung Haji" untuk agensi yang akan bertanggungjawab mengurus jemaah haji di negaranya.

Tiada ulasan: