Jumaat, 3 Julai 2009

Amaran Guan Eng pada pemaju Kpg Buah Pala

MALAYSIA KINI


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi amaran akan memberhentikan projek pembangunan di Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor jika pemajunya terus mengancam untuk merobohkan rumah dan enggan membayar pampasan kepada penduduk di situ.

"Jangan cuba untuk uji kesabaran kerajaan negeri. Saya tidak teragak-agak untuk memberhentikan projek pembangunan itu," katanya.

Lim juga berkata, kerajaan negeri bersedia menanggung risiko membayar gantirugi kepada pemaju jika terpaksa membatalkan projek itu, lapor Bernama.

Ditanya mengapa beliau enggan menemui penduduk kampung itu, Lim berkata:

"Saya sudah serahkan tugas ini kepada Mansor (Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman) dan Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II, Prof.Dr P. Ramasamy).

"Jadi saya tidak mahu orang mempersoalkan kebolehan mereka," katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Kerja Pusat DAP dijangka akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan tindakan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata mesyuarat itu akan diadakan selepas mendapat maklum balas daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, esok.

"Saya percaya surat (daripada DAP Kedah) telah dihantar ke ibu pejabat (DAP). Saya belum baca surat itu lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Fotografi sempena pengisytiharan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia, di Pulau Pinang hari ni.

Rabu lalu, Pengerusi DAP Kedah, Thomas Su mengumumkan DAP keluar daripada pakatan pembangkang negeri kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk tindakan merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Star.

Beliau juga menyifatkan kerajaan Kedah pimpinan PAS sebagai lemah dan sering menimbulkan masalah termasuk mengenakan kuota perumahan Bumiputera sebanyak 50 peratus.

Tiada ulasan: