Isnin, 6 Julai 2009

Akim mahu beri tumpuan kepada pilihan raya umum ke-13

BERNAMA


KUALA KRAI: Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) tidak jadi bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai kerana mahu menumpukan kepada pilihan raya umum ke-13.

Presiden Akim, Hanafi Hamat berkata, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat khas parti itu baru-baru ini.

"Kami akhirnya membuat keputusan tidak bertanding di Manek Urai dan atas beberapa faktor kami hanya mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya umum akan datang," katanya di sini, hari ini.

Dengan ketiadaan Akim, pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat dan calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah.

Hanafi sebelum ini sudah menyatakan hasrat bertanding di Manek Urai selepas tewas pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sebelum ini.

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyat Pas, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu berlangsung di Dewan Petra, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, di sini, hari ini.

Tiada ulasan: