Ahad, 26 Julai 2009

A(H1N1): Sekolah rendah, politeknik di Pulau Pinang ditutup

BERNAMA


PULAU PINANG: Sebuah sekolah rendah dan sebuah politeknik di negeri ini diarah tutup selama seminggu mulai hari ini berikutan terdapat pelajar dijangkiti virus Influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, sekolah berkenaan ialah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Aik Keow, di Teluk Air Tawar dan Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh.

"Kementerian Kesihatan telah mengarahkan penutupan serta merta selepas 16 murid sekolah dan 36 pelajar politeknik itu dijangkiti wabak berkenaan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kesemua mereka yang dijangkiti virus itu kini dikuarantin dan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.

"Kita nasihatkan mereka mematuhi arahan kuarantin dan orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana semua langkah pencegahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) telah diambil," katanya.

Sementara itu, di KUCHING, Pengarah Pelajaran Negeri, Dr. Julaihi Bujang berkata, hanya dua sekolah yang masih tutup di Sarawak ketika ini iaitu Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Kubong dan SMK Patiabun di Limbang.

Katanya, lima lagi sekolah masih menunggu keputusan daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur sebelum dapat dipastikan sama ada beberapa pelajar di sekolah terbabit positif H1N1.

Sekolah berkenaan ialah SMK Bakong Miri, SMK Bako Kuching, SMK Matang Kuching, SMK Medamit Limbang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Traoh Samarahan, katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara dua buah sekolah yang sebelum ini diarah tutup iaitu SMK Agama Limbang dan SM Sains Kuching telah dibuka semula minggu lepas, katanya.

Tiada ulasan: