Khamis, 16 Julai 2009

9 lagi pelajar UiTM Lendu sah positif H1N1

UTUSAN ONLINE


MELAKA - Sembilan lagi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Lendu, Alor Gajah, disahkan positif selesema babi atau influenza A (H1N1), menjadikan keseluruhan pelajar yang dijangkiti virus itu 13 orang setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol berkata, setakat ini, Melaka mencatatkan 45 kes jangkitan virus itu dengan yang terbaru merupakan kes dari Negeri Sembilan.

Menurutnya, kini dua pelajar dari universiti terbabit menerima rawatan di wad pengasingan di Hospital Melaka (HM) manakala selebihnya dirawat dan diasingkan di rumah dan blok asrama UiTM.

''Ujian yang dijalankan ke atas sembilan pelajar terbabit pada 13 Julai lalu mengesahkan mereka dijangkiti virus H1N1 melalui keputusan yang diperolehi pada keesokan harinya,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, kata beliau, tiga daripada sembilan pelajar terlibat ialah lelaki manakala selebihnya pelajar perempuan berusia 18 hingga 20 tahun.

Katanya, kesemua mereka menunjukkan gejala demam, batuk dan sakit tekak bermula minggu lalu.

''Dalam kes ini, pelajar terakhir yang disahkan mengidap virus ini masih menerima rawatan di wad pengasingan HM,'' katanya.

Menurut Norpipah, mangsa terbaru dari Negeri Sembilan merupakan seorang lelaki rakyat Indonesia berusia 21 tahun, dimasukkan ke Hospital Port Dickson pada 12 Julai lalu.

''Mangsa tiba di hospital terbabit pada hari berkenaan dari Indonesia dan disahkan menghidap virus H1N1 dua hari selepas itu, mangsa kini dikuarantin di rumahnya di Melaka,'' katanya.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya belum boleh mengarahkan pihak pentadbir UiTM untuk menutup sementara operasi universiti berkenaan kerana keadaan masih terkawal.

Tiada ulasan: