Jumaat, 17 Julai 2009

70,423 pelajar antarabangsa di IPT hingga Disember lalu

BERNAMA


PETALING JAYA - Seramai 70,423 pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di Malaysia sehingga 31 Disember tahun lalu, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung.

Dr Hou berkata, angka itu sangat menggalakkan dan ia menghampiri sasaran 80,000 pelajar luar negara yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi menjelang 2010 untuk menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pusat pendidikan di rantau ini.

“Kementerian Pengajian Tinggi mendapati pelajar luar negara lebih ramai melanjutkan pelajaran mereka di IPTS berbanding IPTA kerana IPTA hanya dibenarkan mengambil sebanyak lima peratus pelajar asing mulai 2007,” katanya :pada sidang media mengenai Karnival Pelajar Antarabangsa 2009 - Festival Sukan di Kolej Universiti Sunway dekat sini, semalam.

Walaupun terdapat kuota lima peratus di IPTA, kementerian tetap menggalakkan pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran di IPTA agar dapat menaikkan imej institusi pengajian awam tempatan di peringkat antarabangsa, katanya.

Sementara itu, Dr Hou berkata, Kementerian Pe�ngajian Tinggi menerusi Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Jaba�tan Pengajian Tinggi dengan kerjasama IPTS yang terpilih akan menganjurkan Karnival Pelajar Antarabangsa 2009 -Festival Sukan.

Acara sukan itu akan berlangsung pada Jumaat ini di padang Kolej Universiti Sunway, Bandar Sunway.

Dr Hou berkata, sebanyak 56 IPTS dan IPTA telah mengesahkan penyertaan mereka dalam acara sukan itu dan ia dianggarkan mampu menarik lebih 1,500 pelajar antarabangsa berbanding penyertaan kira-kira 1,000 pelajar asing dari 38 IPTS dan IPTA pada tahun lepas.

:“Setiap pelajar antarabangsa adalah duta kecil Malaysia dalam mempromosikan institusi pengajian tinggi Malaysia ke negara asal mereka. Acara sukan ini dapat mewujudkan satu platform kepada pelajar luar negara berinteraksi dengan pelajar tempatan,” katanya.

Selain itu, acara sukan itu dapat menghasilkan rangkaian persahabatan antara pelajar dari pelbagai negara dan institusi pengajian tinggi di Malaysia, kata Dr Hou.

Dr Hou berkata, acara sukan itu juga selaras dengan Teras Kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara iaitu Memperkasa Pengajaran dan Pembelajaran dan Pembangunan Sahsiah Pelajar.

Tiada ulasan: