Rabu, 1 Julai 2009

3,446 penagih dan pengedar dadah ditahan di Terengganu

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Polis menahan 3,446 penagih dan pengedar dadah dalam "Ops Camar" yang diadakan di seluruh negeri ini, sejak 1 Jun lepas sehingga pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Supt Roslan Abdul Wahid berkata jumlah yang ditahan itu meningkat sebanyak 1,479 orang berbanding 1,967 orang yang ditangkap dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Operasi ini akan diteruskan kerana kita masih mempunyai beberapa projek besar ke atas penagih dan pengedar di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dalam operasi itu, sebanyak 94 gram heroin, 1.1 kilogram (kg) ganja, 3,649 biji pil kuda, 60 gram syabu, 130 liter air ketum dan satu kg daun ketum bernilai hampir RM62,000 dirampas.

Nilai harta pengedar yang dirampas dan disita dalam tempoh itu ialah RM700,000 termasuk wang tunai, barang kemas dan kereta, katanya.

Roslan berkata tangkapan terbaru dibuat dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Nibong Stesyen, Bukit Catak, Dungun membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun dan rampasan 500 biji pil kuda yang dianggar bernilai RM20,000 serta wang tunai RM1,500, dipercayai hasil jualan dadah.

"Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan masih bujang itu adalah pengedar dadah secara besar-besaran di kawasan bandar Dungun dan aktif mengedar khususnya berdekatan rumahnya," katanya.

Beliau berkata hasil ujian air kencing juga mendapati lelaki itu adalah penagih dadah syabu.

Tiada ulasan: